Home Pertahanan dan Keselamatan Peruntukan Rendah dan Jangkahayat Punca Pesawat SU-30MKM Gagal Diselenggara – Panglima Tentera Udara

Peruntukan Rendah dan Jangkahayat Punca Pesawat SU-30MKM Gagal Diselenggara – Panglima Tentera Udara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Hj Affendi bin Buang memberikan penjelasan disebalik isu tahap kesiagaan jet pejuang Su-30MKM yang dibangkitkan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Haji Mohamad bin Sabu beberapa hari lalu.

Menurut Panglima Tentera Udara, kadar kebaikan pesawat Su-30MKM yang rendah sebagaimana dibangkitkan oleh Menteri Pertahanan adalah berpunca dari dua perkara utama; peruntukan belanja operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tidak mencukupi dan keperluan rawatan mandatori pesawat pada jangkahayat 10 tahun.

Peruntukan perbelanjaan yang rendah

Dalam ulasannya, Jeneral Tan Sri Affendi menyatakan purata perbelanjaan operasi yang diperuntukkan kepada TUDM adalah jauh lebih rendah dan tidak mencukupi berbanding angka yang dipohon oleh TUDM.

Perbelanjaan yang dipohon oleh TUDM adalah berdasarkan keperluan untuk mengurus sertamenyelenggarakan keseluruhan aset operasi TUDM.

Menurut Panglima Tentera Udara, perkara ini telah diperakui oleh Bahagian Audit Negara hasil pelaksanaan audit mereka pada tahun 2017. Ini secara langsung telah mengekang perbelanjaan senggaraan yang diperlukan untuk membiayai keseluruhan dokongan lojistik yang diperlukan bagi pengoperasian kesemua 18 buah pesawat Su-30MKM tersebut.

Keadaan ini telah memaksa TUDM untuk melaksanakan senggaraan pesawat secara berhemah berdasarkan bajet operasi yang diterima, seterusnya mengakibatkan kadar kebaikan pesawat yang rendah.

Pada masa yang sama, setiap pesawat Su-30MKM ini memerlukan rawatan mandatori apabila mencapai usia 10 tahun yang merangkumi pemeriksaan dan senggaraan kepada kerangka, komponen dan juga sistem pesawat secara terperinci.

Ini adalah untuk menentukan kebaikan keseluruhan pesawat dan seterusnya menjamin keselamatan pengoperasian pesawat di masa hadapan.

Perlaksanaan Rawatan Mandatori 10 tahun Su-30MKM

Pihak pembuat asal pesawat (Original Equipment Manufacturer/OEM) telah mencadangkan kepada TUDM skala pelaksanaan rawatan mandatori 10 tahun ini, namun kos cadangan tersebut adalah terlalu tinggi dan di luar kemampuan bajet TUDM rentetan kekurangan peruntukan dari kerajaan.

Pihak OEM turut memerlukan masa untuk proses pembangunan skop kerja bagi pelaksanaan rawatan mandatori 10 tahun ini memandangkan pesawat Su-30MKM ini adalah model terkini yang kali pertama bakal melalui proses rawatan mandatori ini.

Tambahan pula, pelaksanaan rawatan memerlukan pesawat dihantar ke premis OEM di Rusia, yang melibatkan pertambahan kos dan masa.

Kos cadangan OEM yang tinggi, skop kerja rawatan yang belum matang daripada pihak OEM serta keperluan pelaksanaan di premis OEM di Rusia memaksa TUDM untuk mencari penyelesaian alternatif.

Mencari penyelesaian alternatif

Pihak TUDM mengambil keputusan untuk memperhalusi kebolehupayaan rawatan ini dilaksanakan di dalam negara dengan menggunakan kepakaran sedia ada dan kerjasama pintar pihak TUDM, Maintenance Repair Organisation (MRO) tempatan serta beberapa pemain industri tempatan yang lain.

Kajian telah dijalankan kepada sebuah pesawat Su-30MKM yang membuktikan rawatan tersebut berupaya dilaksanakan di dalam negara melalui kerjasama agensi yang dinyatakan pada kos yang lebih rendah. Ianya juga turut mengurangkan kebergantungan kepada pihak OEM Rusia.

Panglima Tentera Udara turut berkata, TUDM yakin hanya melalui kaedah yang telah direncanakan ini dapat menentukan pelaksanaan rawatan mandatori 10 tahun ini pada kos yang mampu ditanggung kerajaan.

Namun demikian, proses kajian dan pembangunan keupayaan rawatan ini memakan masa. Justeru, sepanjang tempoh pelaksanaan kajian dan pembangunan keupayaan rawatan tersebut, sejumlah 12 pesawat Su-30MKM telah mencapai jangkahayat 10 tahun dan sedang menunggu pelaksanaan rawatan mandatori ini.

Keadaan ini menyebabkan kesiagaan pesawat Su-30MKM semasa terjejas dimana hanya terdapat baki 6 pesawat Su-30MKM yang belum mencapai jangkahayat 10 tahun tersebut.

TUDM sedang melengkapkan perincian akhir proses pelaksanaan rawatan mandatori 10 tahun ini. Namun, perlu dinyatakan bahawa pelaksanaan rawatan ini masih dikekang bajet operasi tahunan yang rendah.

Justeru, TUDM memerlukan penambahan peruntukan yang sewajarnya agar dapat melaksanakan rawatan mandatori ini dan seterusnya meningkatkan semula kesiagaan pesawat Su-30MKM ke tahap operasi yang diperlukan.

Beberapa hari lalu, Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Haji Mohamad bin Sabu mendedahkan bahawa hanya 4 buah jet pejuang Su-30MKM mampu untuk beroperasi dengan baik.

Related Articles

Leave a Reply