Home Politik Larangan penggunaan dron semasa PRK Sungai Kandis – Polis

Larangan penggunaan dron semasa PRK Sungai Kandis – Polis

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 17 Jul – Polis melarang penggunaan dron sepanjang berlangsungnya proses penamaan calon hingga hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dun N.49 Sungai Kandis, Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya sudah bersedia bersama-sama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan PRK Sungai Kandis.

Menurutnya, seramai 1,200 petugas akan ditugaskan sepanjang proses PRK.

“Kita mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh petugas bagi memastikan ketenteraman awam dalam keadaan baik pada hari penamaan, kempen dan pengundian.

“Malah, dingatkan juga bahawa penggunaan dron masih kekal tidak boleh digunakan, siapa sahaja berhasrat hendak menggunakannya, lupakan sahaja sebab kita ada undang-undang untuk mereka yang berdegil,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor, di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, SPR menetapkan 4 Ogos 2018 sebagai hari mengundi manakala penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 21 Julai 2018.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Tempoh berkempen yang ditetapkan bagi PRK Sungai Kandis adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, 3 Ogos 2018.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Related Articles

Leave a Reply