Home Semasa Kementerian Kesihatan kawal selia sardin import, beberapa produk sedang dipantau

Kementerian Kesihatan kawal selia sardin import, beberapa produk sedang dipantau

by M.Daim

PUTRAJAYA, 27 Jun – Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyatakan bahawa pihak mereka sedang menjalankan pemantauan ke atas produk ikan dalam tin (sardin dan mackerel) yang diimport serta di pasaran tempatan.

Selain daripada 2 jenama produk ikan sardin yang telah dikesan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp sebelum ini iaitu TL Tan Lung dan TLC, hasil pemantauan terkini mendapati produk ikan sardin jenama Cinta, Sea Fresh dan HS Brand juga mengandungi cacing FilumNematoda daripada genus Anisakis spp.

Di samping itu, produk ikan mackerel dalam sos tomato jenama King Cup, Bintang dan TC Boy didapati mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan terus melakukan pemantauan.

Sehubungan itu, KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan di mana syarikat terlibat telah diarah menarik balik produk tersebut dari pasaran.

KKM juga telah mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara. Tahan, Uji dan Lepas  merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini, cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.. Manakala bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh KKM.

Bagi produk ikan dalam tin, risiko kepada kesihatan adalah amat rendah kerana cacing tersebut telah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukan mana-mana pihak yang terlibat di dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengambil tindakan kawal selia ke atas jenama sardin dari China yang dilaporkan mengandungi cacing.

Beliau berkata tiada individu yang menjadi mangsa selepas termakan sardin berkenaan.

“Tiada yang menjadi mangsa. Cacing yang terdapat di dalam sardin itu sudah mati dan bukannya cacing hidup,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pascakabinet Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kesihatan hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dilaporkan menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia di dalam sampel tin sardin dari China yang dibawa masuk menerusi North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.

Ketua Pengarah MAQIS Datuk Mokhtarud-din Husain berkata cacing terbabit ditemui menerusi pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa tin sardin yang tiba di dalam dua kontena berisi “Canned Mackerel in Tomato Sauce” jenama RANESA yang ditahan di NBCT dengan anggaran berat 36,720kg bernilai RM199,797.24.

Cacing terbabit berkemungkinan daripada genus Anisakis spp yang menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia yang biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit terbabit.

Anisakiasis adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal seperti perut dan usus manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.

Dalam perkembangan lain,

Related Articles

Leave a Reply