Home SemasaGlobal Serangan udara ragut 18 nyawa

Serangan udara ragut 18 nyawa

by Noor Sheila Amin

BEIRUT, 8 Jun – Serangan udara di barat laut Syria semalam, yang didakwa dilancarkan sekutu rejim, Russia, meragut 18 nyawa penduduk awam termasuk dua kanak-kanak.

Serangan berkenaan, yang dilancarkan di zon penempatan Zardana di Idlib, juga mencederakan 50 lagi, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Pemerhati berkata, ia bergantung kepada sumber di Syria bagi maklumat dan menentukan pihak yang melancarkan serangan berdasarkan corak penerbangan, selain pesawat dan peluru digunakan.

Angka kematian berkemungkinan meningkat disebabkan bilangan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan, kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

Wartawan AFP di lokasi serangan menceritakan kawah besar di tengah runtuhan beberapa bangunan dua dan tiga tingkat.

Dalam kejadian berasingan, militan Daesh membunuh 22 pejuang prorejim termasuk 11 anggota tentera, dua daripadanya berpangkat pegawai, dalam serangan mengejut di selatan Syria.

SOHR berkata, 12 militan turut maut dalam serangan di wilayah Sweida.

Ia adalah serangan pertama seumpama itu di kawasan berkenaan, yang tiada kesan kehadiran Daesh selama lebih setahun. – AFP

Related Articles

Leave a Reply