Home SemasaGlobal Indonesia cadang tambah 5 buah C-130

Indonesia cadang tambah 5 buah C-130

by M.Daim

JAKARTA, 8 Jun – Kerajaan Indonesia merancang untuk melakukan perolehan tambahan sebanyak 5 buah pesawat pengangkut keluaran Lockheed, C-130 Hercules. Perolehan tersebut adalah sebahagian daripada proses modernisasi angkatan tentera negara itu.

Media Indonesia memetik kenyataan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu yang menyatakan perolehan 5 buah pesawat pengangkut tersebut adalah mencukupi.

Menurut beliau, Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) memerlukan perolehan baharu untuk menambah kekuatan pesawat pengangkut. Ini dengan melihat majoriti C-130 dalam inventori TNI-AU adalah terlalu berusia.

Walaupun industri pertahanan Indonesia berupaya untuk menghasilkan pesawat sendiri, Ryamizard menyatakan negara itu masih mempunyai kekurangan tersendiri . Indonesia menekankan pemindahan teknologi dari pengeluar bagi memastikan Indonesia tidak terlalu bergantung dengan import dan pada masa yang sama, memperkasakan industri pertahanan Indonesia.

Langkah untuk memperkasakan kekuatan pesawat pengangkut dalam inventori TNI-AU bermula semenjak insiden terhempasnya sebuah pesawat C-130B di Medan pada tahun 2015. Dalam kejadian itu, seramai 122 orang telah maut,

Pada 18 Disember 2016, 13 orang maut selepas sebuah pesawat pengangkut C-130 milik TNI-AU terhempas di kawasan pergungungan di Papua. Pesawat malang tersebut pada ketika itu sedang membawa muatan simen dan beras.

Pada tahun lalu, Jakarta dilaporkan berminat untuk membeli 5 buah pesawat Airbus A400M Atlas. Namun begitu, pada Mac lalu, TNI-AU mengumumkan bahawa negara itu memerlukan 2 buah A400M sahaja.

Related Articles

Leave a Reply