MANILA, 8 Jun – Kerajaan Filipina dilaporkan sedang mengkaji untuk melakukan perolehan tambahan jet pejuang untuk kegunaan tentera udara negara itu. Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana menyatakan bahawa Manila sedang mempertimbangkan perolehan tambahan 12 buah jet pejuang ringan (Light Combat Aircraft – LCA), F/A-50 dari Korea Selatan
Beliau menyatakan, Presiden Filipina berpuas hati dengan keupayaan jet pejuang latihan yang diperolehi dari Korea Selatan terutamanya dengan melihat kejayaan Tentera Udara Filipina mengempur kedudukan pengganas Daesh semasa pertempuran Marawi pada tahun lalu.
Delfin menegaskan ianya bergantung dengan keputusan mesyuarat antara pihaknya dengan pemimpin tertinggi tentera negara itu.
Tentera Udara Filipina pada ketika ini sedang mengoperasikan 12 buah F/A-50 yang diperolehi pada era pemerintahan Aquino.
Lorenzana turut menyatakan pihak industri pertahanan Korea Selatan bersedia untuk membantu industri pertahanan Filipina melalui pemindahan teknologi.
F/A-50 merupakan varian jet pejuang ringan yang dibangunkan dari jet latihan T-50 keluaran Korean Aerospace Industries (KAI). Pada ketika ini, Filipina sedang mengoperasikan F/A-50 PH manakala Iraq mengoperasikan F/A-50IQ. Indonesia dan Thailand pula mengoperasikan varian latihan lanjutan (advanced trainer), T-50.
Walaupun beegitu, Indonesia dilaporkan sedang merancang penambahbaikan T-50 di negara itu.
Di Korea Selatan, F/A-50 dirancang untuk menggantikan peranan F-5E/F dan A-37.
T-50 Golden Eagle yang dibangunkan oleh KAI adalah berasaskan teknologi F-16.