BAITULMAQDIS, 9 Dis – Tentera Israel dilaporkan telah mengambil kedudukan di zon pemampan Bukit Golan.
Ketua Tentera Israel, Herzi Halavi menyatakan Tel Aviv kini mempunyai 4 barisan hadapan, selain Gaza, Yaman, serta Lubnan.
“Semenjak Ahad, kami sedang berhadapan dengan 4 barisan hadapan peperangan,” katanya dalam saluran rasmi tentera Israel.
Tentera Israel dilaporkan telah memasuki zon pemampan pada Ahad selepas kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad tumbang.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad di Syria adalah hasil langsung daripada operasi ketenteraan Israel yang menyasarkan Iran dan Hezbollah di Lubnan.
Netanyahu turut mengumumkan arahan kepada tenteranya untuk menduduki zon penampan yang memisahkan Bukit Golan yang diduduki Israel dengan Syria.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan Israel di kawasan tersebut, yang telah diduduki sejak 1967 dan diilhak secara unilateral pada 1981.
Sebelum ini, kawasan tersebut dipantau oleh pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun terdapat beberapa insiden tentera Israel memasuki zon itu secara sementara.
Media Israel melaporkan bahawa pasukan elit Shaldag Israel telah berjaya menguasai sebuah puncak strategik di Gunung Hermon sebagai sebahagian daripada operasi untuk memperkukuh kawalan ketenteraan di rantau berkenaan. Puncak tersebut dianggap penting kerana kedudukan strategiknya yang memberi kelebihan untuk pemerhatian dan pertahanan.
Selain itu, laporan media turut menyebut bahawa tentera Israel telah mengambil alih pos Jabal al-Sheikh di Gunung Hermon serta beberapa lokasi lain dalam zon demilitarisasi di sepanjang garis pemisah 1974. Langkah ini mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya ketegangan baharu di sempadan Israel-Syria.
Tindakan Israel ini dijangka terus menjadi perhatian antarabangsa, terutama dalam konteks kestabilan rantau yang sudah lama bergolak. – airtimes.my
#airtimes #Syria #BukitGolan #Geopolitik