Home SemasaGlobal Ketua kumpulan pengganas ISIS letupkan diri, keluarga menjadi mangsa

Ketua kumpulan pengganas ISIS letupkan diri, keluarga menjadi mangsa

by M.Daim

WASHINGTON, 4 Feb – Pemimpin kumpulan pengganas Daesh (ISIS), Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi maut dalam satu operasi yang berlangsung selama 2 jam dilancarkan oleh Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat

Presiden AS, Joe Biden mengumumkan kejayaan operasi pasukan tentera negara itu di Syria dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

“Pasukan Operasi Khas telah berjaya melaksanakan operasi anti pengganas di Barat Laut Syria pada malam 3 Februari,” kata Biden dalam satu kenyataan ringkas.

Menurut beliau, operasi tersebut berjaya dilaksanakan tanpa korban nyawa di pihak tentera AS.

Abu Ibrahim turut dikenali sebagai Haji Abdullah merupakan pengganti kepada pemimpin dan pengasas ISIS , Abu Bakar al-Baghdadi.

Tingkat atas rumah yang didiami oleh pemimpin ISIS, Haji Abdullah ranap selepas dia bertindak meletupkan diri semasa di kepung oleh Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat.

Bersembunyi di kawasan kejiranan 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh White House, ketua kumpulan ISIS dikesan bersembunyi di sebuah bangunan 3 tingkat di kawasan kejiranan kira-kira 2 kilometer dari sempadan Syria-Turki.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati pertempuran tersebut berlaku di sebuah kejiranan di Atmeh (Atimah).

Operasi dilancarkan pada pukul 1 pagi Khamis, waktu tempatan (7 pagi Khamis waktu Malaysia).

Penduduk di sekitar Atmeh kongsikan beberapa video dan gambar yang memaparkan kesan pertempuran tersebut.

Turut dirakam bangkai sebuah helikopter yang diletupkan di kawasan sekitar Atmeh.

Gambar tular dari Atmeh memaparkan helikopter yang digunakan oleh Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat semasa operasi memburu Ketua ISIS di Atmeh, Syria.

Guna keluarga sebagai perisai manusia

Jelas pegawai tinggi AS, ketiga-tiga tingkat bangunan terbabit mempunyai penghuni. Haji Abdullah tinggal di tingkat tiga manakala pembantunya di tingkat dua bangunan.

“Keluarga di tingkat pertama tidak mempunyai kaitan dengan pemimpin IS dan mereka telah dibawa keluar dari bangunan tersebut sebaik sahaja operasi dilancarkan,” katanya.

Jelasnya, pasangan suami isteri dan beberapa orang anak kecil di tingkat bawah bangunan terbabit dipercayai digunakan sebagai perisai manusia oleh Haji Abdullah.

MAUT. Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi atau Haji Abdullah mengetuai kumpulan pengganas ISIS selepas kematian Abu Bakar al-Baghdadi.

Selain daripada itu, pemimpin ISIS terbabit turut menggunakan khidmat orang tengah melalui pembantunya bagi melakukan urusan harian.

“Situasi sebegini menjadikan operasi memburu Haji Abdullah menjadi sukar atas faktor kehadiran orang awam dan juga kanak-kanak,” katanya.

Pada masa yang sama, khidmat orang tengah dan kawasan kejiranan menjadikan operasi tersebut menjadi kompleks.

Jelasnya, sepanjang operasi dijalankan, terdapat individu kumpulan bersenjata bertindak melepaskan tembakan.

“Kawasan ini dipercayai dikawal oleh kumpulan berkaitan Al Qaeda,  Hay’at Tahrir al-Sham,” katanya.

Ruang dalam rumah di Atmeh yang diserbu oleh anggota Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat.

Pemimpin ISIS letupkan diri

Menurut beliau, Haji Abdullah bertindak meletupkan diri selepas menyedari kehadiran anggota Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat.

“Sama seperti pemimpin pengganas sebelumnya (Abu Bakar al-Baghdadi), Haji Abdullah telah meletupkan diri dan menyebabkan korban nyawa dikalangan ahli keluarganya serta individu di kawasan luar rumah,” ujarnya.

Letupan tersebut telah menyebabkan sebahagian daripada tingkat 3 bangunan terbabit ranap.

Anggota penyelamat di Atmeh sedang memeriksa kesan kemusnahan akibat ledakan oleh pemimpin ISIS, Haji Abdullah semasa dikepung oleh anggota Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat.

Pembantu Haji Abdullah di tingkat 2 bangunan terbabit telah melepaskan tembakan ke arah anggota tentera AS.

“Mereka (anggota tentera AS) telah diserang oleh pasangan suami isteri yang dipercayai pembantu kepada Haji Abdullah,

“Anggota pasukan khas telah melepaskan tembakan balas dan pasangan terbabit disahkan terbunuh,” jelasnya.

Tambah pegawai tinggi AS, 4 orang kanak-kanak telah berjaya dikeluarkan dari tingkat terbabit sebaik sahaja pertempuran selesai.

Sebahagian daripada bangkai helikopter yang diletupkan oleh Amerika Syarikat kerana mengalami masalah mekanikal yang kritikal.

 Terpaksa musnahkan helikopter 

Salah sebuah helikopter yang digunakan operasi tersebut mengalami kerosakan mekanikal dan terpaksa dimusnahkan sebaik sahaja operasi selesai.

“Helikopter terbabit mula mengalami masalah mekanikal sebaik sahaja operasi dilancarkan.

“Pesawat tersebut kemudiannya dibawa keluar dari kawasan operasi dan mendarat di lokasi lain,” kata pegawai tinggi AS.

Beliau menolak helikopter tersebut musnah akibat serangan balas oleh individu bersenjata semasa operasi.

“Helikopter tidak terhempas dan ia diterbangkan ke lokasi lain. Pada ketika itu, keputusan untuk memusnahkan pesawat telah diambil,

“Pesawat dimusnahkan di lokasi lain dan jauh dari lokasi pertempuran,” katanya.

Haji Abdullah bersembunyi di kawasan kejiranan di Atmeh, kira-kira 2 kilometer dari sempadan Turki-Syria.

Pasukan bersenjata Syria Democratic Force memainkan peranan

 Menurut pegawai tinggi AS, operasi yang dilaksanakan terhadap pemimpin ISIS tersebut telah dirancang selama beberapa bulan.

Jelasnya, kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama dengan pasukan bersenjata Syria Democratic Force (SDF).

“Kami sememangnya menghargai kerjasama rakan kami, SDF dalam membantu dan memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan operasi ini,

“Mereka sentiasa bekerjasama dengan kami dalam usaha memburu saki-baki ISIS dan pemimpinnya,” kata pegawai terbabit.

Namun begitu, beliau enggan mendedahkan bentuk bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh SDF.

“(Bantuan) SDF adalah penting dan kami tidak melakukan apa-apa tanpa bantuan mereka kerana ianya adalah mustahak,

“Mereka antara faktor penting dalam kejayaan operasi ini,” katanya.

Beliau menambah, operasi tersebut dilancarkan sebaik sahaja menerima arahan dari Biden.

“Presiden Biden telah dimaklumkan akan operasi ini lebih sebulan lalu selepas mendapat pengesahan kedudukan Haji Abdullah di lokasi sasaran,

“Beliau telah diberikan taklimat secara semasa oleh pasukan keselamatan negara yang bertanggungjawab dalam merancang operasi ini secara terperinci,

“Beliau telah memberikan lampu hijau operasi pada pagi Selasa,” katanya.

Menurut beliau, operasi dipantau secara terus oleh Presiden dan Ketua Setiausaha Pertahanan AS serta pemimpin tinggi tentera.

Keadaan bangunan sebelum (kiri) dan selepas (kanan) pemimpin IS meletupkan dirinya semasa dikepung oleh Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat.

Guna cap jari sahkan identiti

Menurut jurucakap Pentagon, John Kirby, pengesahan identiti Haji Abdullah dikenal pasti dengan menggunakan cap jari dan analisis DNA.

“Pengesahan cap jari dilakukan dengan serta merta di lokasi pertempuran dan disusuli dengan keputusan analisis DNA,” katanya.

Jelas Kirby, kedua-dua ujian terbabit mengesahkan identiti pemimpin ISIS terbabit.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan jenazah Haji Abdullah ditinggalkan di lokasi pertempuran.

Menyentuh sama ada matlamat utama operasi terbabit untuk tangkap atau bunuh individu terbabit, Kirby menyatakan Haji Abdullah telah diberi peluang untuk keluar dari bangunan terbabit.

“Anggota pasukan khas AS telah memanggil keluar penghuni bangunan terbabit untuk keluar termasuk Haji Abdullah,

“Namun dia telah memilih jalan untuk meletupkan diri,” ujarnya.

Flashbang. Antara tinggalan barang operasi yang digunakan oleh anggota Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat semasa mengepung pemimpin ISIS di Atmeh.

Korban jiwa

 Sementara itu, Kirby menyatakan sekurang-kurangnya 3 orang dalam letupan bunuh diri oleh Haji Abdullah.

“Letupan tersebut telah membunuh isteri dan 2 orang anaknya. Kami turut menerima laporan seorang kanak-kanak maut di tingkat kedua bangunan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menyatakan seramai 10 orang awam telah dibawa keluar dari bangunan terbabit.

“6 orang awam diselamatkan dari tingkat bawah bangunan iaitu terdiri daripada seorang wanita, seorang lelaki dan 4 kanak-kanak,

“Selain daripada itu, 4 lagi kanak-kanak dibawa keluar dari tingkat 2 bangunan,” katanya.

Beliau turut menolak AS telah menahan mana-mana individu dari kawasan terbabit.

“Tiada penahanan dibuat dan anggota pasukan khas serta yang lain (tentera AS) pulang dengan selamat serta tiada kemalangan jiwa,” jelas Kirby.

Beliau menambah, pihak Pentagon akan menilai semula operasi yang telah dijalankan di Syria bagi memastikan tiada kemalangan jiwa di kalangan orang awam dalam operasi tentera AS di masa hadapan.

Tegasnya, kematian di kalangan mangsa awam semasa operasi di Atmeh adalah bukan berpunca dari anggota tentera AS.

Sementara itu, laporan media tempatan di Syria menyatakan sekurang-kurangnya 13 orang maut dalam operasi yang dilancarkan di Atmeh.

Amerika Syarikat menganggarkan sekurang-kurangnya 3 orang maut dalam letupan yang dilakukan oleh ketua ISIS.

Pemimpin IS yang berbahaya tetapi pengecut

 Kirby menegaskan walaupun kumpulan terbabit tidak begitu aktif seperti pada tahun 2014, ISIS masih dianggap sebagai

 Komander Pusat Pemerintahan Tentera Amerika Syarikat (US CENTCOM), Jeneral Kenneth F. McKenzie Jr menegaskan Haji Abdullah merupakan seseorang yang berbahaya.

“Berbeza dengan Abu Bakar al-Bagdhadi, Haji Abdullah lebih cenderung untuk merancang dan melaksanakan operasi,” katanya semasa menyampaikan ucapan forum dalam talian dianjurkan oleh Middle East Institute.

Menurut beliau, operasi yang dilancarkan oleh Pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat adalah bertujuan untuk menangkap Haji Abdullah.

Komander US CENTCOM, Jeneral Kenneth F. McKenzie Jr menyatakan letupan kuat di tingkat 3 bangunan sasaran bukan berpunca dari jaket (vest) pengebom.

“Dia bertindak meletupkan dirinya semasa kepungan dibuat oleh anggota pasukan khas. Letupan tersebut adalah terlalu kuat untuk jaket (vest) pengebom,

“Letupan tersebut telah menyebabkan Haji Abdullah dan beberapa orang lagi tercampak dari tingkat 3 bangunan terbabit,

“Mayat Haji Abdullah ditemui di perkarangan bangunan,” katanya.

Menurut Kenneth, tindakan pemimpin ISIS terbabit disifatkan sebagai pengecut.

“Dia enggan menyerah diri mahupun melawan tetapi sebaliknya membunuh diri,” tegasnya.

Jelas beliau, angka korban dari letupan tersebut mungkin lebih tinggi berikutan jumlah penghuni di tingkat 3 bangunan tersebut tidak dapat dikenal pasti.

Terlibat dalam jenayah kemanusiaan

Sementara itu, pertubuhan hak asasi antarabangsa, Commission for International Justice and Accountability (CIJA) dalam satu kenyataan berkata, Haji Abdullah terlibat dengan pelbagai jenayah kemanusiaan.

“Selain menjadi dalang sistem penghambaan wanita dan kanak-kanak dalam ISIS, Haji Abdullah turut terlibat dalam jenayah seksual terhadap tawanan wanita,” kata Nerma Jelacic, Timbalan Pengarah CIJA.

CIJA dakwa Haji Abdullah antara pemimpin ISIS yang bertanggungjawab dalam jenayah kemanusiaan terhadap masyarakat Yazidi di Sinjar pada tahun 2014.

Menurut kenyataan yang sama, CIJA mempunyai bukti kukuh penglibatan Haji Abdullah dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai, penghapusan etnik, seksual dan beberapa jenayah lain.

“Semasa menawan Sinjar, Haji Abdullah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tawanan Yazidi,

“Dia turut terlibat dalam pembahagian wanita dan kanak-kanak kepada militan ISIS sebagai rampasan perang,” kata kenyataan itu.

Haji Abdullah, pengganti al-Baghdadi

Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi atau nama sebenarnya Amir Muhammad Sa’id Abdal-Rahman al-Mawla merupakan warga negara Iraq yang lahir di  Tal Afar.

Haji Abdullah dikenali pelbagai gelaran termasuk Profesor, Pemusnah (Destroyer) serta Abu-‘Umar al-Turkmani.

Dia merupakan bekas pegawai tentera Iraq semasa era pemerintahan Saddam Hussein dan pernah ditahan oleh tentera Amerika Syarikat kerana terlibat dengan al-Qaeda.

Haji Abdullah dipenjara dalam Kem Bucca di Basra dan mengenali rapat Abu Bakar al-Baghdadi.

Kem ini amat dikenali sebagai titik permulaan penubuhan ISIS.

Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi merupakan bekas pegawai tentera Iraq semasa era Saddam Hussein. Dia pernah ditangkap oleh tentera AS pada tahun 2004 kerana terlibat dengan kumpulan al-Qaeda.

Semasa al-Baghdadi memimpin ISIS, Haji Abdullah merupakan antara orang kanan dan pengasas kumpulan terbabit.

Haji Abdullah amat dikenali sebagai penggubal polisi yang kejam. Pada tahun 2015, dia telah terlibat dalam operasi pembunuhan dan penghambaan masyarakat Yazidi di Iraq.

Walaupun barisan pemimpin tinggi ISIS terdiri daripada masyarakat Arab Iraq, Haji Abdullah yang merupakan berdarah Turki telah dipilih oleh al-Baghdadi sebagai penggantinya.

Selepas kematian al-Baghdadi dalam satu operasi oleh AS pada 27 Oktober 2019, Haji Abdullah mengumumkan dirinya telah mengetuai kumpulan ISIS.

Pada tahun 2019, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menawarkan imbuhan sebanyak US$5 juta kepada penangkapan Haji Abdullah. Jumlah imbuhan kemudiannya bertambah kepada US$10 juta pada tahun 2020.

ISIS dikenali pelbagai nama termasuk IS, ISIL dan Daesh. Kumpulan ini diisytiharkan sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan Malaysia pada 2014. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply