KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara terbaru Israel ke atas Semenanjung Gaza, Palestin yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, serangan kejam Israel ini jelas melanggari undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera memberikan tekanan mendalam kepada Israel untuk menghentikan serta merta pencerobohan dan keganasan ke atas rakyat Palestin,
“Masyarakat antarabangsa mesti terus mengecam Israel atas serangan provokasi yang mementingkan diri sendiri dan dasar apartheid terhadap hak asasi, kehidupan, mata pencarian serta maruah semua rakyat Palestin dari pelbagai agama di tanah air mereka sendiri,
“Tidak boleh ada pendekatan berbeza dalam menangani sebarang konflik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, Malaysia juga sentiasa menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta solidariti teguh bersama rakyat Palestin dalam mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel. – airtimes.my