Home Pertahanan dan Keselamatan Perpaduan anggota ATM perlu diperkuatkan – Hishammuddin

Perpaduan anggota ATM perlu diperkuatkan – Hishammuddin

by M.Daim

LUMUT, 13 Apr – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini hadir melaksanakan Jelajah Perkasa Perwira di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Siri Jelajah Perkasa Perwira merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertahanan Malaysia untuk mendekatkan lagi hubungan antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kali ini bersama warga TLDM Lumut.

Dalam jelajah tersebut, Hishammuddin berikrar bahawa kepimpinan tertinggi MINDEF dan ATM bersama-sama untuk meneruskan usaha dalam membela dan merealisasikan impian warga ATM khususnya melibatkan keperluan dan kebajikan mereka.

“Berlandaskan prinsip Kukuh, Teguh & Padu, kesatuan dalam kalangan anggota ATM perlu diperkuatkan agar ia tidak diintai oleh mana-mana pihak lain yg mempunyai kepentingan peribadi!” tegas Hishammuddin di hadapan 3,000 warga TLDM yang hadir ke majlis tersebut.

Inisiatif Perkasa Perwira merupakan inisiatif turun padang ke seluruh negara yang dilaksanakan dengan bersandarkan dua objektif utama.

Objektif pertama, bagi membolehkan Menteri Pertahanan dan kepimpinan tertinggi MINDEF dan ATM memantau setiap projek, inisiatif dan program yang telah dirancang agar ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh pihak yang telah diberikan amanah dan tanggungjawab.

Manakala objektif kedua, membolehkan MENHAN dan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM berinteraksi hingga ke akar umbi agar segala perancangan yang dilaksanakan dapat dirasai, dihargai dan disokong oleh golongan sasar.

Misi dan visi Perkasa Perwira ialah memperkasakan warga ATM dengan pelaksanaan teras kebajikan di bawah hala tuju MINDEF dan memperkukuh pertahanan negara dengan pemerkasaan kebajikan warga ATM.

Turut hadir ke majlis ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral  Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sebelum hadir ke Pangkalan Lumut, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah melawat ke Wisma Laskar, dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera A21 bagi meninjau sendiri program naik taraf perumahanseperti yang dinyatakan dalam teras hala tuju MINDEF.

Di samping itu, beliau turut meluangkan masa melawat ke Hospital Angkatan Tentera (96 HAT) dan bertemu warga veteran dan anggota TLDM yang menjalani lawatan di sana.

Related Articles

Leave a Reply