Home Pertahanan dan Keselamatan 400 APM di Esszone : Esscom tingkatkan kawalan keselamatan

400 APM di Esszone : Esscom tingkatkan kawalan keselamatan

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 5 Apr – Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Azmy Yahya berkata empat ratus anggota APM akan ditugaskan membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam tugas pengawasan dan pemerhatian.

Menurut beliau, anggota APM akan memulakan penugasan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) pada 15 April ini.

Katanya penugasan anggota APM membantu Esscom itu sejajar dengan keputusan kerajaan yang diluluskan dalam kabinet pada Disember tahun lepas.

“Tugas membantu Esscom menjurus pengawasan dan pemerhatian di kawasan dikenal pasti serta menjadi mata dan telinga kepada Esscom.

Anggota APM terlibat mampu melaksanakan tanggungjawab ini disebabkan kelebihan mereka sebagai penduduk dalam Esszone,” katanya pada sidang media bersempena Majlis Pelancaran Penugasan APM di Esszone di Sandakan malam tadi.

Menurutnya anggota APM tidak akan terlibat dalam tugas rondaan bersenjata di bawah Esscom.

Beliau berkata jumlah anggota APM bertugas di Esszone itu akan ditambah hingga 1,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Azmy berkata bagi APM, penugasan di Esszone ini merupakan satu pengiktirafan kepada agensi itu dalam meningkatkan aspek keselamatan di kawasan timur negeri ini.

Menurutnya terdapat 180,000 anggota APM di negeri ini daripada 2.1 juta anggota APM yang ada di seluruh negara.

Katanya APM menyasar menambah anggota hingga 3 juta orang di seluruh negara sejajar dengan transformasi agensi itu yang dilaksanakan sejak dua tahun lepas.

Dalam pada itu, Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Esscom SAC Mazli Mazlan berkata menyifatkan penugasan anggota APM itu dalam Esszone sebagai nilai tambah dalam meningkatkan tanggungjawab penugasan menjaga keselamatan di timur negeri ini.

Katanya pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama lain dengan agensi lain dalam melaksanakan penugasan berkaitan peningkatan aspek keselamatan di Esszone.

Related Articles

Leave a Reply