Home Diskusi Pesawat tersadai, kapal kecil dan tak boleh pakai?

Pesawat tersadai, kapal kecil dan tak boleh pakai?

by M.Daim

Malam semalam, ketika Exco Pendidikan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Selangor menyatakan bahawa keadaan atau tahap kesiapsiagaan dan juga mutu pasukan tentera tanah air berada di tahap yang kritikal.

Dalam ceramahnya di Setiawangsa, Nik Nazmi mendakwa kebanyakan pesawat TUDM tersadai (tidak mampu terbang). Malah beliau menyatakan bahawa kapal-kapal TLDM adalah bersaiz kecil berbanding dengan negara luar dan ada yang tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya di laut kerana terbengkalai.

Sesungguhnya, dakwaan sebegini adalah serius terutamanya dengan melihat hal-hal operasi dan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan adalah perkara paling kritikal.

Ini terutamanya dengan melihat teras-teras yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia merangkumi Teras Kesiagaan yang menuntut tahap kesiapsiagaan pasukan tentera berada di tahap optimum dan tertinggi.

Benarkah TLDM kapalnya terlalu kecil dan ada yang tersadai?

Lebih 5 tahun penulis melakukan liputan pertahanan, TLDM telah menggariskan program 15-to-5 atau mengemaskini (streamlining) armada daripada 15 kelas kepada 5 kelas. Program 15-to-5 yang digariskan merupakan satu langkah untuk menjadikan pasukan tentera laut tanah air mempunyai aset terkini dan berupaya untuk melaksanakan tugas-tugas mereka di samudera.

Hakikatnya, program 15-to-5 ini tidaklah semata-mata untuk memperkemaskan aset. Pada hemat penulis, program ini sebenarnya satu pembaharuan secara total kerana menurut Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bahawa program 15-to-5 ini turut mengubah corak pengurusan yang lebih efektif.

Corak pengurusan yang lebih efektif yang telah diperkenalkan oleh TLDM semenjak beberapa tahun lalu antaranya adalah inisiatif untuk menghalang ketirisan dan menghapuskan budaya rasuah dengan kerjasama SPRM. Selain daripada itu, nilai sumber manusia turut dipertingkatkan dengan latihan serta budaya pengurusan efektif dan efisien.

Semasa lawatan Menteri Pertahanan di Sabah, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan isyarat bahawa kapal MRSS (Multi Role Support Ship) akan dipenuhi tidak lama lagi. Selain daripada itu, TLDM turut menggariskan penambahan ketumbukan kapal selam tanah air dalam tempoh lebih 20 tahun akan datang.

Mengapa dan kenapa saiz kapal TLDM lebih kecil berbanding negara luar? Mungkin jawapan sebegini lebih teknikal dan hanya mampu dijawab oleh pihak TLDM kerana penulis percaya, pengguna lebih mengetahui apa yang diperlukan.

TUDM: Banyak pesawat tersadai?

Program MRCA TUDM dan juga program penggantian MiG-29N merupakan antara isu yang paling panas melibatkan TUDM. Selain daripada itu, TUDM telah menyaksikan kemalangan beberapa buah pesawat yang ada di antaranya telah meragut nyawa anggota.

Program MRCA sudah tentu bukanlah satu program yang mudah dan murah kerana perolehan aset pesawat udara khususnya jet pejuang adalah memerlukan penilaian yang lebih berhati-hati. Biarpun setiap jenis jet pejuang mempunyai peminat dan penyokongnya sendiri, TUDM sudah tentu lebih mengetahui akan jenis dan model jet pejuang yang diperlukan.

Walaupun begitu, program MRCA sudah lama tertangguh terutamanya melihat keadaan ekonomi global yang sebelumnya tidak begitu memberangsangkan. Perolehan sesebuah jet pejuang melibatkan pelbagai perkara termasuklah perolehan persenjataan, latihan, alat ganti, khidmat sokongan dan nasihat serta kos pengoperasian serta pembangunan fasiliti.

Bagi penulis, sehebat mana pun seseorang itu mendalami dunia ketenteraan sebagai penulis atau peminat, peralatan dan kelengkapan yang dikehendaki sudah tentu hanya diketahui oleh TUDM sendiri kerana mereka adalah pengguna atau end user kelak.

Namun begitu, sejauh manakah benarnya dakwaan Nik Nazmi mengenai tahap kesiagaan pasukan keselamatan tanah air yang bersumberkan oleh anggota tentera sudah tentu memberikan gambaran negatif kepada ATM khususnya TUDM dan TLDM.

Perkara ini sudah tentu bergantung kepada pertimbangan pihak berwajib untuk menjawab dakwaan tersebut tanpa mengorbankan tahap kerahsiaan operasi yang sudah tentu menjadi ‘gula-gula’ pihak tertentu untuk membuat onar kepada negara.

 

Related Articles

Leave a Reply