Home SemasaGlobal Mesir ganggu sistem telefon Israel, Palestin

Mesir ganggu sistem telefon Israel, Palestin

by Noor Sheila Amin

Baitulmaqdis, 9 Mac – Tindakan Mesir menyekat talian telefon secara elektronik menyasar pemberontak di Sinai menyebabkan perkhidmatan itu di Israel dan semenanjung Gaza terjejas.

Berikutan itu, pihak berkuasa Mesir dan Israel berusaha memulihkan sistem berkenaan.

Kerajaan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi bekerjasama secara senyap dengan Israel menangani isu keselamatan di Sinai.

Tindakan menyekat talian telefon itu dipercayai tidak diketahui Israel menyebabkan Kementerian Komunikasi regim Zionis menyatakan akan berbincang dengan Mesir.

Kaherah melancarkan operasi besar-besaran di Sinai pada 9 Februari lalu dengan menyasarkan kumpulan militan yang menyokong Daish.

Pegawai Israel berkata, pada 21 Februari lalu, Mesir mula menyekat beberapa frekuensi telefon bimbit di Sinai sekali gus mengganggu perkhidmatan di Israel dan Gaza.

“Kami tidak pernah melihat sesuatu yang intensif dan berpanjangan seperti ini. Malah, Palestin juga menghubungi kami bagi merayu ia dihentikan,” kata seorang pegawai Israel kepada Reuters.

Menurutnya, gangguan perkhidmatan telefon berlaku hingga ke Baitulmaqdis dan utara Israel, bergantung kepada cuaca.

Seorang pegawai Mesir yang juga enggan dikenali mengesahkan satu perang elektronik dilancarkan di Sinai.

“Secara jelas kami mahu menghalang pengganas daripada berkomunikasi,” jelasnya.

Pegawai itu menafikan bahawa Israel juga adalah sasaran sekatan itu tetapi memberitahu ada militan di Sinai disyaki menyeludup kad SIM dari Israel dan berada hampir dengan sempadan untuk mendapatkan isyarat daripada negara Zionis itu. – Reuters

Related Articles

Leave a Reply