Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM: Cari “orang dalam” bocor maklumat

ESSCOM: Cari “orang dalam” bocor maklumat

by M.Daim

Tawau, 5 Mac – Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) kesal dengan penyiaran identiti salah satu suspek yang ditembak mati di Blok 22, Batu 3 Jalan Kalabakan-Keningau. Kenyataan itu dikeluarkan berikutan penerbitan artikel ‘Abu Sayyaf Leader Shot Dead In Tawau’ (Pemimpin Abu Sayyaf Ditembak Mati Di Tawau) di dua akhbar arus perdana pada Khamis lalu.

Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali berkata artikel yang disiarkan menerusi kedua-dua akhbar atas talian terbabit ada menyebut identiti suspek yang ditembak mati. “Kami akan menyiasat dan mengenal pasti ‘orang dalam’ atau pihak yang mendedahkan maklumat berkaitan (identiti suspek) untuk tindakan perundangan,” katanya.

Hazani berkata langkah itu penting demi mengekalkan integriti kepentingan keselamatan dan kerahsiaan operasi sebagai keutamaan sebelum dihebahkan kepada masyarakat. Menurutnya, pendedahan nama atau identiti suspek itu menimbulkan kegusaran kepada penduduk di ESSZone dan siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti sumber terlibat.

“Pihak kami amat terkilan dan kesal dengan pendedahan identiti terbabit,” katanya, menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Esscom

Mengulas lanjut, beliau berkata pendedahan itu membantutkan keseluruhan operasi untuk mengesan pihak terlibat, senjata dan pihak yang ada kaitan dengan kumpulan berkenaan.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan media supaya apa-apa pendedahan nama atau identiti suspek pada masa akan datang haruslah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa atau pihak kami sebelum dihebahkan kepada masyarakat bagi tujuan mengekalkan integriti kepentingan keselamatan dan kerahsiaan operasi,” katanya lagi.

“ESSCom dan polis tidak pernah mendedahkan atau menyebut nama atau identiti tiga penjenayah yang ditembak mati pasukan keselamatan di kawasan Kalabakan, Tawau. Ini terutamanya apabila siasatan oleh pasukan keselamatan masih lagi berlangsung untuk mengesan ahli-ahli kumpulan terlibat dan juga senjata-senjata yang digunakan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply