Home Semasa “Kementerian Kewangan Malaysia rompak Tabung Haji” – Sekretariat GERAM

“Kementerian Kewangan Malaysia rompak Tabung Haji” – Sekretariat GERAM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Sekretariat Gerakan NGO NGO Bergabung Malaysia (GERAM) mendedahkan langkah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengambil alih aset-aset Lembaga Tabung Haji adalah tidak adil.

Mohd Zolkefli Hasan berkata, tindakan Lim Guan Eng mengambil alih aset Tabung Haji bernilai RM 19.9 bilion atas alasan kerugian sebanyak RM 4 bilion yang dialami oleh institusi itu adalah satu rompakan.

“Pada saya ini satu rompakan yang berlaku ke atas Tabung Haji yang merupakan tabung umat Islam yang telah disimpan sekian lama,

“Maka adalah tidak adil jika dia ambil begitu sahaja,” kata Zol.

Beliau turut mempersoalkan pelan pemulihan Tabung Haji dengan cara menjual aset-aset dan ekuiti di bawah Tabung Haji.

Ada pihak cuba kaut keuntungan

“Kalau penjualan aset adalah cara pemulihan Tabung Haji, baik Tabung Haji jual sendiri aset-aset tersebut,” tegas Zul dalam satu sidang media khas yang diadakan semalam.

Mohd Zolkefli Hasan

Beliau turut menyuarakan kebimbangan langkah sebegini akan memudahkan pihak tertentu untuk cuba mengaut keuntungan dengan membeli aset dan ekuiti pada harga yang jauh lebih rendah.

Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan langkah MOF yang dilihat melanggar kriteria-kriteria aset yang untuk dipindahkan ke SPV. Kriteria yang dimaksudkan adalah pelaburan dalam ekuiti memiliki rosot nilai melebihi 20 peratus dan aset hartanah serta tanah yang mempunyai hasil kurang 2.5 peratus.

Zol mengambil isu tanah TRX yang dibeli oleh SPV MOF pada harga RM 118 juta seekar. Beliau menyatakan bahawa harga tersebut adalah harga yang jauh lebih rendah dari harga semasa hartanah di kawasan tersebut.

Pengarah Tabung Haji sebelum ini tidak mahu menjual tanah ini kerana mereka ingin melakukan pembangunan yang bernilai RM 1 bilion.

“Tiba-tiba MOF datang dan batalkan rancangan tersebut. Maknanya orang Melayu nak bangunkan tanah sendiri di tengah bandar telah dinafikan oleh MOF. Tak lama lagi tanah ini akan jatuh ke tangan kroni-kroni mereka dengan membeli harga yang lebih murah,

“Syarikat yang menguntungkan seperti Malakoff dan Pintara Jaya pun diambil alih. Syarikat-syarikat ini mempunyai projek besar dan tidak pernah rugi,” tegas Zol.

PwC menipu atau Jabatan Audit Negara menipu?

Dato’ Kamaruddin Ahmad

Selain daripada itu, Zol turut mempersoalkan kredibiliti firma audit PwC yang dilaporkan mempunyai 10 kes penipuan di peringkat global termasuk langkah kerajaan India untuk mengharamkan PWC di negara itu. Malah, menurut Zul, penemuan PwC adalah bercanggah dengan laporan Jabatan Audit Negara.

“Jabatan Audit Negara atau PwC yang menipu? Setahu saya belum pernah Jabatan Audit Negara menipu,” soal Zol.

Beliau cadangan penubuhan PAC untuk Tabung Haji sebagaimana dilakukan oleh kerajaan dalam 1MDB.

Kerajaan perlu berhati-hati dalam mengendalikan isu Tabung Haji

Sementara itu, Dato’ Kamaruddin Ahmad meminta kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji semula dan berhati-hati untuk mengambil tindakan dalam isu Tabung Haji.

“Timbul keraguan kenapa syarikat-syarikat yang menguntungkan seperti Malakoff dan Pintaras Jaya, yang mempunyai projek di ambil alih oleh SPV.

Shahbudin Embun

“Kebimbangan ini boleh menjejaskan keyakinan dan kepercayaan pendeposit Tabung Haji,” kata Kamaruddin.

Menurut Zol, dua laporan polis telah dibuat semenjak 1 Januari lalu. Beliau turut menyatakan bahawa satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia pada 21 Januari lalu.

“Isu Tabung Haji menjadi salah satu daripada fokus NGO-NGO kami,” jelas Shahbudin Embun, Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu Malaysia.

Pada 1 Februari lalu, Perhimpunan Selamatkan Tabung Haji telah diadakan di perkarangan Bangunan Tabung Haji. Perhimpunan tersebut menyaksikan kehadiran beberapa orang pemimpin NGO-NGO yang menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan MOF untuk mengambil alih aset-aset dan ekuiti Tabung Haji.

Related Articles

Leave a Reply