SINGAPURA, 23 JUN – Kapal induk milik Tentera Laut Diraja Britain, HMS Prince of Wales, telah selamat berlabuh di Marina Bay Cruise Centre, Singapura hari ini dalam lawatan rasmi pertamanya ke rantau Asia Tenggara.
Kapal perang seberat 65,000 tan itu dengan dek penerbangan seluas tiga padang bola sepak telah mengetuai kumpulan serangan kapal induk dalam penempatan pelbagai negara yang diketuai oleh United Kingdom (UK) selama lapan bulan menerusi Operasi Highmast.
Pesuruhjaya Tinggi British, Nikesh Mehta berkata, Ketibaan HMS Prince of Wales merupakan demonstrasi penting terhadap komitmen UK kepada Indo-Pasifik.
“Lawatan ke Singapura ini menjadi simbol nyata komitmen UK terhadap kestabilan perairan Indo-Pasifik dan di Euro-Atlantik terutama dalam suasana global yang sedang bergolak.
“Anda tidak boleh memiliki satu tanpa yang lain, dan itulah sebabnya kumpulan serangan kapal induk datang ke bahagian ke sini,” katanya dalam sesi sidang media pada Khamis lalu.

Kapal induk milik Tentera Laut Diraja Britain, HMS Prince of Wales tiba di Singapura hari ini
Semasa berada di Singapura, HMS Prince of Wales akan menjadi tuan rumah kepada lebih 8,000 pengunjung awam yang memenangi tiket melalui cabutan. Selain itu, pelbagai aktiviti dirancang termasuk perbincangan panel mengenai isu pertahanan dan keselamatan.
Kapal induk ini turut disertai oleh kapal-kapal dari Kanada, Norway dan Sepanyol, selain aset Tentera Laut Diraja UK sendiri. Sepanjang penempatan ini, ia telah melaksanakan latihan bersama termasuk dengan Tentera Laut India.
HMS Prince of Wales mampu membawa sehingga 1,600 anggota, 36 pesawat pejuang F-35B dan empat helikopter Merlin. Kapal kembarnya, HMS Queen Elizabeth juga pernah melawat Singapura pada 2021.
Selepas Singapura, kapal ini dijadualkan mengunjungi beberapa pelabuhan di rantau ini termasuk Indonesia, Jepun dan Korea Selatan selain akan menyertai latihan bersama Angkatan Bersenjata Singapura.
#AirTimes #Pertahanan #KapalInduk #HMSPrinceOfWales #Singapura #UK #OperasiHighmast #IndoPasifik