KYIV, 4 JUN – Tentera Udara Ukraine mengesahkan bahawa tiga jet pejuang F-16 milik mereka telah musnah dalam pertempuran udara dengan Rusia sejak beberapa minggu lalu.
Jurucakap Tentera Udara, Kolonel Yurii Ihnat, berkata insiden itu berlaku dalam fasa pertempuran yang semakin sengit dan perlu dianggap sebagai sebahagian daripada realiti peperangan.
Menurutnya, kemusnahan yang dihadapi oleh Ukraine bukanlah sesuatu yang mengejutkan tetapi ianya perlu dianggap normal dan realiti peperangan.
F-16 Ukraine hadapi cabaran serius dalam pertempuran udara
“Kita telah kehilangan tiga F-16. Ini perlu diterima sebagai perkara biasa dalam peperangan,” katanya dalam wawancara bersama Ukrainska Pravda yang disiarkan pada 3 Jun 2025.
Pesawat F-16 itu merupakan sebahagian daripada bantuan ketenteraan daripada negara-negara Barat. Walaupun digunakan sebelum ini, ia tetap membawa peningkatan ketara kepada kemampuan udara Ukraine.
“F-16 ialah platform moden. Yang penting ialah sistem radar dan peluru berpandu yang dibawanya,” ujar beliau.
Bagaimanapun, Ihnat mengakui Rusia masih mempunyai kelebihan dari segi teknologi radar dan keupayaan peluru berpandu jarak jauh, menyebabkan misi udara Ukraine berada dalam risiko tinggi.
“Rusia mempunyai pesawat yang boleh mengesan lebih awal dan menembak dari jarak lebih jauh berbanding F-16. Mereka juga memiliki sistem pertahanan udara yang bersepadu,” jelasnya.
Beliau turut memuji semangat juang juruterbang Ukraine yang tetap memberikan saingan biarpun berdepan cabaran besar.
“Walaupun teknologi kita masih ditambah baik, juruterbang kita tetap melawan,” katanya.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Ukraine melancarkan Operasi Pavutyne, iaitu satu serangan besar-besaran menggunakan 117 dron FPV terhadap empat pangkalan udara strategik Rusia.
Serangan tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 41 pesawat Rusia rosak atau musnah, menurut kenyataan rasmi oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU). – airtimes.my