LAMPUNG, 26 JUN – Eksesais LATGABMA MALINDO DARSASA 12AB/2026 menutup tirainya di Pantai Puri Gading selepas 13 hari pelaksanaan latihan gabungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentara Nasional Indonesia (TNI).
Menurut kenyataan Markas Angkatan Bersama (MkAB), majlis penutupan eksesais itu disempurnakan oleh Asisten Operasi Panglima TNI, Leftenan Jeneral Bobby Rinal Makmun.
Ucapan penutupan pihak ATM pula disampaikan oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abdul Aziz, yang menekankan kejayaan latihan tersebut dalam memperkukuh hubungan pertahanan serta meningkatkan tahap interoperabiliti antara ATM dan TNI.
Latihan bersama itu melibatkan pelbagai domain merangkumi darat, maritim dan udara, dengan tumpuan kepada bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta pertahanan siber.
Pelaksanaan siri latihan seperti Staff Exercise (STAFFEX), Force Integration Training (FIT), Field Training Exercise (FTX), Medical Civil Action Programme (MEDCAP) dan Engineering Civil Action Programme (ENCAP) menjadi antara komponen utama eksesais berkenaan.
Simulasi bencana uji kesiapsiagaan operasi gabungan

Dalam fasa latihan lapangan, ATM, TNI serta beberapa agensi awam Indonesia melaksanakan simulasi gempa bumi dan tsunami di Pantai Puri Gading bagi menguji kesiapsiagaan menghadapi bencana berskala besar.
MkAB memaklumkan, latihan FTX itu melibatkan operasi menyelamat mangsa di beberapa lokasi simulasi bencana termasuk jambatan, sungai, bangunan runtuh, pembentung, bangunan bertingkat, kawasan paya bakau dan laut.
Peserta digerakkan dalam pasukan campuran dengan sokongan kesihatan dan komunikasi, selain penggunaan aset operasi seperti trak, ambulans, bot dan helikopter bagi melaksanakan pemindahan mangsa.
Latihan mencapai kemuncak melalui pelaksanaan Full Mission Profile (FMP) yang merangkumi simulasi amaran awal, pemindahan masyarakat, impak gelombang tsunami, pengaktifan Combined Coordination Center (CCC) serta ketibaan kontingen bantuan Malaysia untuk menyertai operasi SAR.
Operasi gabungan itu turut merangkumi vertical rescue, rope rescue, joint water rescue, sea rescue dan air medevac bagi mangsa kritikal.
Selain latihan operasi, MEDCAP turut dilaksanakan di Kampung Suka Maju melalui aktiviti kesihatan pergigian kanak-kanak, trauma healing, saringan kesihatan, konsultasi perubatan, derma darah dan pemberian bakul makanan kepada penduduk.
Program ENCAP pula melibatkan pembinaan semula dua rumah di Kampung Sukamaju serta pembinaan jalan konkrit sepanjang 200 meter di Kampung Keteguhan, dengan penyertaan anggota ATM daripada 91 Rejimen Bantuan RAJD dan TNI daripada Detasemen Zeni Tempur 14/GB.
Cyber-FTX fokus perlindungan infrastruktur kritikal

Komponen pertahanan siber turut menjadi sebahagian daripada LATGABMA MALINDO DARSASA 12AB/2026 menerusi pelaksanaan Cyber Field Training Exercise (Cyber-FTX) antara ATM dan TNI.
Menurut MkAB, latihan itu memberi tumpuan kepada perlindungan infrastruktur kritikal dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman digital, termasuk simulasi rangkaian hospital serta sistem Supervisory Control and Data Acquisition (SCADA).
Dalam latihan tersebut, White Cell melaksanakan proses hardening dan enumeration terhadap rangkaian kritikal, manakala Blue Team menjalankan pemantauan serta pengesanan rangkaian menggunakan sistem Security Information Event Management (SIEM). Red Team pula menguji ketahanan sistem melalui simulasi serangan seperti web defacement, SQL injection dan port scanning.
Latihan siber itu diakhiri dengan sesi After Action Review (AAR) bagi mengenal pasti jurang keupayaan serta ruang penambahbaikan untuk latihan akan datang.
Majlis penutupan eksesais turut dihadiri wakil negara sahabat termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Singapura dan Timor Leste. – airtimes.my
