KUALA LUMPUR, 7 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang laporan polis berhubung sindiket penculikan dan penjualan organ manusia yang tular di media sosial.
Superintenden Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superintenden Skandaguru Anandan berkata, pihaknya mengesan penyebaran mesej palsu dengan memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar berwaspada berkaitan sindiket penculikan yang menyasarkan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ-organ tertentu untuk dijual.
Menurutnya, mesej tular di media sosial yang mendakwa sindiket terlibat menggunakan kereta Proton Wira dan sebuah van putih bagi menjalankan aktiviti tersebut telah tular sejak 2016 sebelum kembali diulang siar.
“Malah, mesej itu turut menyenaraikan harga bagi organ-organ yang dijual seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata selain mendakwa amaran itu dikeluarkan daripada Gerakan IPK Bukit Aman,
“PDRM mengesahkan tiada laporan polis berkaitan kes penculikan dan penjualan organ manusia,
“Semakan mendapati mesej itu telah tular sejak tahun 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Skandaguru, tiada sebarang amaran pernah dikeluarkan oleh pihak Bikit Aman.
“Orang ramai dinasihat tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,
“Tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat,” tambahnya. -airtimes.my