Kuala Lumpur, 13 Mac – Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azizah Nawawi hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh 5 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berhubung pembatalan pelantikan mereka sebagai Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan UPNM.
Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan semakan kehakiman berkenaan.
Azizah memerintahkan setiap pemohon, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Akmal Akif Alias, Mohamad Syazwan Musa, Muhamad Ashraf Abdullah dan Muhammad Amirul Asraff Mala membayar kos RM1,000 kepada Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, UPNM, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kerajaan Malaysia selaku responden.
Kelima-lima pemohon berusia 22 tahun itu, sebelum ini didakwa di mahkamah atas pertuduhan sengaja menyebabkan cedera terhadap rakan universiti mereka, Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain bagi memeras mangsa mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba dan kes itu masih di peringkat perbicaraan.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei tahun lepas.