Suatu ketika dahulu, armada laut bergantung sepenuhnya pada kehadiran anak kapal untuk beroperasi. Walau bagaimanapun, kebangkitan teknologi automasi telah membuka lembaran baharu ke arah pengoperasian yang lebih cekap dan berisiko rendah.
Kepesatan teknologi kecerdasan buatan dan sistem kawalan jarak jauh telah membolehkan kapal tanpa kru beroperasi secara autonomi tanpa memerlukan kehadiran fizikal manusia. Platform maritim ini direka bentuk khusus untuk melaksanakan pelbagai misi strategik, termasuklah tugas rondaan, pengawasan, dan pemerolehan maklumat risikan. Tanpa penempatan anak kapal, risiko kehilangan nyawa anggota tentera dapat diminimumkan secara ketara, terutamanya semasa melaksanakan penugasan di kawasan yang berisiko tinggi.
Keupayaan jangkauan luar biasa pemburu sasaran permukaan
Sebagai contoh, rujukan utama dalam arena ini ialah Sea Hunter, iaitu sebuah kapal permukaan tanpa kru (USV) kelas trimaran yang dibangunkan di bawah program Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan (DARPA) Amerika Syarikat. Kapal sepanjang 40 meter ini memiliki keupayaan untuk belayar sejauh 10,000 batu nautika tanpa sebarang campur tangan manusia secara langsung.
Keistimewaan ini menjadikannya platform yang amat bersesuaian untuk misi rondaan maritim yang berpanjangan di kawasan perairan yang luas. Ia mampu beroperasi selama berbulan-bulan di zon yang diklasifikasikan sebagai perairan bertahap ancaman tinggi bagi melaksanakan misi penjejakan kapal selam yang berterusan.

Sea Hunter./Foto: U.S Navy
Evolusi di dasar laut
Di samping kapal permukaan, arena bawah permukaan air turut menyaksikan kemunculan sistem canggih seperti Orca Extra Large Unmanned Undersea Vehicle (XLUUV) yang dibangunkan oleh Boeing. Berbeza daripada aset permukaan konvensional, kenderaan hibrid diesel dan bateri ion-litium ini beroperasi secara tersembunyi di dasar laut. Dengan keupayaan jarak rondaan sehingga 6,500 batu nautika dan kapasiti muatan seberat lapan tan, ia direka bentuk untuk mengendalikan misi yang lebih rumit seperti operasi antikapal selam, peperangan elektronik, dan penugasan khas pembersihan periuk api.
Kemampuan sedemikian menawarkan kelebihan taktikal yang tiada tandingannya kepada sesebuah negara untuk memantau pergerakan aset musuh secara senyap dan amat berkesan.

Orca Extra Large Unmanned Undersea Vehicle (XLUUV)./Foto: U.S Navy
Lonjakan taktikal dan kesan ekonomi pertahanan
Dari sudut ekonomi pertahanan, integrasi kapal tanpa kru dilihat sebagai satu inisiatif strategik untuk mengurangkan kos operasi bagi jangka masa panjang. Kapal perang konvensional menuntut peruntukan yang besar untuk tujuan penyelenggaraan, latihan intensif anak kapal, dan pengurusan logistik harian.
Melalui sistem automasi, kekangan kewangan dan logistik ini dapat dikurangkan. Perkara ini sekali gus memberikan ruang kepada angkatan laut untuk memfokuskan sumber daya pada aspek lain seperti pemodenan teknologi dan pemerkasaan keupayaan tempur.
Dalam konteks peperangan maritim moden, aset tanpa kru ini turut menggalas peranan yang kritikal dalam operasi antikapal selam melalui konsep Pasukan Berangkai Manusia-Mesin (MUM-T). Dilengkapi dengan keupayaan penderia yang canggih, sistem ini bertindak sebagai nod pengumpulan data perisikan sumber terbuka (OSINT) serta perisikan isyarat untuk menjejaki pergerakan musuh pada peringkat terawal. Maklumat taktikal masa nyata yang diperoleh itu kemudiannya disalurkan kepada aset penyerang yang lain untuk tindakan susulan, lantas menjadikan sesebuah operasi ketenteraan itu lebih terkoordinasi dan berimpak tinggi.
Konteks dalam keselamatan perairan Malaysia
Bagi negara Malaysia, perkembangan teknologi ini membuka lembaran dan peluang baharu dalam usaha memperkukuh keselamatan maritim tanah air. Geografi perairan negara, terutamanya Laut China Selatan yang luas dan bernilai strategik, menuntut pemantauan yang berterusan bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang anasir luar yang agresif.
Dalam senario ini, penggunaan kapal tanpa kru berpotensi bertindak sebagai elemen pelengkap kepada aset sedia ada bagi memastikan pelaksanaan operasi rondaan yang lebih konsisten dan cekap. Tambahan pula, aplikasi automasi dalam operasi maritim memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk mengoptimumkan penjanaan dan penggunaan sumber manusia.
Memandangkan cabaran pembatasan saiz keanggotaan, penggunaan sistem tanpa kru mampu merapatkan jurang keperluan operasi tanpa memberikan beban yang berlebihan kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedia ada. Di sinilah terletaknya potensi pelaksanaan kerangka Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di mana syarikat pertahanan tempatan boleh diupayakan untuk melaksanakan pembangunan teknologi dan pengeluaran aset USV berskala kecil secara serantau bagi mengurangkan kebergantungan luar.

Ketegangan di Laut China Selatan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan pertindihan tuntutan./Foto: Asia Pacific Foundation
Mendepani cabaran keselamatan ruang siber
Walau bagaimanapun, peralihan kepada penggunaan kapal tanpa kru ini tidak sunyi daripada pelbagai cabaran yang mendesak. Isu-isu kritikal seperti ancaman keselamatan siber, kempen manipulasi isyarat digital, tahap kebolehpercayaan sistem, serta kemampuan untuk beroperasi dalam persekitaran maritim yang mencabar perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Sebarang kelompangan atau kerentanan dalam sistem automasi tersebut berisiko untuk dimanipulasi oleh pihak musuh, yang natijahnya kelak akan merencatkan keseluruhan keberkesanan operasi taktikal.
Biarpun teknologi ini sebahagian besarnya masih berada dalam fasa percambahan dan pembangunan, kapal perang tanpa kru jelas mempamerkan potensi yang amat besar dalam mencorakkan landskap masa hadapan peperangan maritim. Berbekalkan keupayaan untuk beroperasi tanpa membahayakan nyawa manusia, kecekapan kos, serta keberkesanan dalam misi rondaan dan pengawasan, sistem pintar ini diunjurkan bakal diangkat sebagai elemen tunjang dalam doktrin pertahanan laut mana-mana kuasa besar dunia. – airtimes.my
