Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kebimbangan yang timbul dalam kalangan rakyat adalah wajar rentetan sejarah pengendalian kes yang pernah diputuskan oleh bekas Hakim Besar Sabah itu.

Jelas Takiyuddin yang mengambil contoh  Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang terletak bidang kuasa bicara di Mahkamah Sivil.

“Kuasa Ketua Hakim Negara ini sangat besar sebab beliau boleh menentukan korum hakim yang akan mendengar sesuatu kes. Oleh itu, saya harap beliau dapat bertindak mengikut budi bicara termasuk mengambil kira hal-hal berkaitan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah Agama Persekutuan.

“Banyak kes-kes syariah yang dirujuk di Mahkamah Sivil. Contohnya, seperti  Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang perlu dibicarakan di mahkamah berkenaan.

“Ambil sikap (beliau) meneliti serta peka isu-isu berkaitan Islam yang melibatkan kepentingan penduduk majoriti di negara ini dan Pas harap beliau dapat menggunakan ‘Discretionary Power’ (kuasa budi bicara) berdasarkan undang-undang ,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Kelab Media Kelantan (Kemudi) di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir; Setiausaha Parti Amanah Negara Kelantan; Rushdan Mustafa; Ketua Penerangan PPBM, Zulkifli Zakaria; Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim.

Malanjum, 65, mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa 11 Julai lalu.

Beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Malanjum, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md. Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai.