KOTA TINGGI, 13 Sept – Tindakan 2 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia bersembunyi di pinggir hutan Jalan Teluk Ramunia gagal apabila ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di kawasan tanggungjawab Operasi Benteng (Op Benteng) Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd), semalam.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, melalui maklumat perisikan yang dijalankan, tim Quick Reaction Force (QRF) telah mengesan pendaratan individu bersembunyi di kawasan tersebut.
Menurut Markas 3 Div, Tim QRF telah menahan seorang lelaki dan wanita warga Indonesia yang berumur 24 serta 42 tahun kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kedua-dua PATI itu telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi serta laporan kepada pihak polis,
“Kesemua PATI telah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Johor Bahru,” jelas kenyataan itu.
Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,955.34 melibatkan wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Indonesia serta barangan kemas termasuk 2 buah telefon bimbit yang terdiri dari pelbagai jenama.
Tambah 3 Div, pihaknya telah meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan dari pasukanTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.-airtimes.my