WASHINGTON DC, 18 Sept – Segala proses dan prosedur operasi standard (SOP) agensi-agensi penting di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka diperketat selain langkah lain diambil bagi mengelak aktiviti melanggar undang-undang melibatkan pegawai dan kakitangannya.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat, berkata beliau akan memanggil semua kepimpinan dan pegawai kanan yang menguruskan agensi utama seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekembalinya ke Malaysia.
“Kita akan melihat secara lebih dekat bagaimana kita harus perketat segala bentuk proses dan SOP sedia ada dan perkara lain yang boleh kita lakukan untuk mengelak penyelewengan atau tindakan tidak bertanggungjawab oleh pegawai,” katanya yang memandang serius kes-kes seumpama itu yang dilaporkan berlaku.
Seorang Penolong Pengarah JPN dan lima individu lain didakwa di George Town baru-baru ini atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud pula mengesahkan seorang pegawainya ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan cop keselamatan jabatan itu.
“Kita tidak akan berkompromi, kita tak lindungi mereka kalau maklumat siasatan terbukti mereka telah melakukan kesalahan, lebih-lebih lagi mereka adalah pegawai kerajaan,” tegas Muhyiddin.
Beliau berkata apa yang berlaku mewujudkan perasaan tidak selesa di pihak kementerian.
“Mungkin orang ramai berkata ini (menunjukkan) seolah-olah kita tak beri perhatian secara lebih terperinci tentang soal pengurusan hal imigresen atau pendaftaran.
“Saya nak katakan itu tidak benarlah, tapi satu dua kes ini membuka mata kita untuk menyatakan kita tak boleh ambil mudah perkara membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara yang dilakukan individu mahupun sindiket,” katanya.
Muhyiddin seterusnya menggesa kakitangan KDN dan agensinya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan memastikan mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
“Kita akan terus minta polis menyiasat hingga ke akar umbi dan kalau terbukti ada pelanggaran undang-undang, tindakan tegas mesti diambil,” tambahnya. – Bernama