KUALA LUMPUR, 13 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan diadakan pada 16 hingga 19 Mac 2022.
Beliau berkata, perkara ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Perasmian Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 16 Mac nanti,
“Perhimpunan Agung Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno berlangsung pada 17 Mac,
“Manakala pada 18 Mac pula, ucapan Dasar Presiden dan Perasmian PAU oleh Presiden UMNO dan bermulanya persidangan serta pada 19 Mac, berlangsungnya PAU hari kedua,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Ahmad, kesemua 14 orang perwakilan setiap bahagian akan dijemput untuk menghadiri PAU 2021 dan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid.
“Kesemua 5 orang perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadiri Perhimpunan Agung masing-masing pada kali ini,
“Walaupun demikian, prosedur operasi standard (SOP) tetap akan dipenuhi daripada segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan aplikasi Mysejahtera, sanitizer dan lain-lain,” ujarnya. – airtimes.my