LANGKAWI, 26 JUN – Keupayaan penguatkuasaan dan keselamatan maritim di perairan negara teruji apabila TLDM dan Maritim Malaysia melaksanakan dua latihan secara serentak.
Latihan OSTEX WEST 2026 dan Eksesais SAMUDERA PERKASA 9/26 pada 14 hingga 25 Jun itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik serta kesiapsiagaan operasi kedua-dua pasukan.
OSTEX WEST merupakan eksesais tahunan yang melibatkan hampir keseluruhan aset Armada Barat TLDM.
Sementara itu, Eksesais SAMUDERA PERKASA adalah latihan tahunan antara TLDM dan Maritim Malaysia yang dilaksanakan sejak tahun 2016.
Gabungan kedua-dua eksesais kali ini berjaya meningkatkan kerjasama antara kedua-dua organisasi daripada skala kecil kepada skala sederhana.
Latihan OSTEX WEST 2026 dan Eksesais SAMUDERA PERKASA 9/26 turut melibatkan Turut terlibat Pasukan Khas Laut (PASKAL) sertaPasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia. /Gambar: Markas Pemerintahan Armada Barat
Latihan tersebut melibatkan 10 kapal TLDM, tiga kapal Maritim Malaysia serta sebuah helikopter TLDM.
Turut terlibat Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.
Eksesais dilaksanakan di Pangkalan TLDM Lumut, perairan Selat Melaka utara hingga ke perairan Langkawi dengan fokus peperangan maritim dan operasi mencari serta menyelamat (SAR).
Satu pencapaian penting turut direkodkan apabila TLDM berjaya melaksanakan latihan penembakan menggunakan sasaran udara jenis ‘target drone’ di laut.
Penggunaan teknologi baharu itu dilihat lebih menjimatkan kos berbanding penggunaan sasaran tunda udara.
Ia juga berupaya menguji keberkesanan sistem penderia, persenjataan kapal dan tahap kompetensi kru dalam menghadapi ancaman udara.
Latihan ini turut menyaksikan inisiatif baharu dalam penggunaan teknologi drone sebagai sasaran dalam bagi penembakan sasaran udara di laut. /Gambar: Markas Pemerintahan Armada Barat
Target drone ini telah diterbangkan secara menegak dari geladak KD Sri Indera Sakti ke kawasan penembakan dengan profil penerbangan secara automatik.
Lima kapal terlibat dalam latihan pengesanan dan penembakan target drone iaitu KD Lekir, KD Lekiu, KD Perkasa, KD Gempita dan KD Terengganu.
Kesemua kapal berjaya mengesan target drone seterusnya melaksanakan penembakan menggunakan meriam kapal ke arah sasaran.
Terdahulu, majlis penutupan eksesais telah diadakan di Markas Wilayah Laut 3, Pangkalan TLDM Langkawi pada Khamis.
Ia disempurnakan Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Dalam ucapannya, Panglima Armada Barat memberitahu, walaupun peranan teras TLDM dan Maritim Malaysia berbeza, kedua-duanya berkongsi kawasan operasi yang sama.
Beliau menegaskan kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan maritim negara terus terpelihara.
Kejayaan penggabungan OSTEX WEST 2026 dan Eksesais SAMUDERA PERKASA 9/26 disifatkan sebagai penanda aras baharu dalam memperkukuh sinergi strategik antara agensi maritim negara pada masa hadapan. – airtimes.my


