SELANGOR, 23 Mei – Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih telah membuat serbuan dan menahan 27 individu warga asing yang bersembunyi di sebuah premis berhampiran Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya Selangor, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah BN 4 PGA, Superintenden Polis Rizal Mohamed berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 18 hingga 50 tahun.
“Pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,
“Tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Kundang, Gombak untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam masa yang sama, Rizal turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. airtimes.my