PASRI MAS, 25 Apr – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini menegaskan umat Islam di negara ini perlu berdiam diri sekiranya enggan mempertahankan nasib bangsa Rohingya.
“Jika anda tidak mahu mempertahankan hak saudara semuslim anda bangsa Rohingya, maka diam saja. Bersuara memburukkan saudara semuslim yang tertindas oleh kezaliman musuh Islam adalah dosa besar,” kata Nik Mohamad Abduh di akaun media sosial rasminya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, sikap sedemikian akan membunuh nilai Ramadhan.
“Ia membunuh nilai Ramadhan anda. Ia membunuh jiwa dan nurani anda. Ia menarik sifat rahmah kurniaan Allah dalam jiwa setiap muslim,” jelasnya.
Beliau menggesa agar rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan menolong dan membantu umat yang tertindas. Pada masa yang sama, mencari jalan untuk menyelesaikan isu, bukan melangsaikan kebencian dan dendam.
“Jangan diri merasa hebat menjulang Ustaz Ebit Liew sebagai duta kasih sayang negara, tetapi dalam masa yang sama meninggalkan akhlak mulianya menyantuni orang-orang yang susah, apatah tertindas,” katanya lagi.