KUALA LUMPUR, 26 Okt – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan satu formula pendamaian politik dengan menubuhkan Majlis Permuafakatan Negara untuk mentadbir Malaysia.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata UMMAH dan Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM) mahu semua pihak dan parti politik perlu melakukan gencatan politik serta menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi mencari formula perdamaian.
“Majlis Permuafakatan Negara yang terdiri daripada wakil parti-parti politik, wakil pegawai tertinggi kerajaan, wakil ilmuwan Islam, cendekiawan, profesional dan akademik, wakil NGO-NGO utama, wakil NGO serta tokoh masyarakat,
“Sekiranya cadangan ini tidak dipersetujui oleh kerajaan ataupun mana-mana pihak, maka kami UMMAH, MPM dan seluruh NGO akan menjadi pihak ketiga yang akan mencadangkan perkara ini supaya kita dapat membantu kerajaan mengemukakan formula penyelesaian,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, UMMAH dan MPM mempertegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh menganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.
“Ini merupakan suatu perkara dan agenda penting pada hari ini dan masa hadapan bahawa kita akan mencadangkan satu formula kepada parti-parti politik supaya agenda pemuafakatan dan pendamaian negara dapat dilaksanakan,
“Kita juga mengingatkan sekiranya ada parti politik yang enggan kearah mengangkat agenda ini, membuat gencatan politik maka kita menganggap mereka mengingkari titah perintah Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Tambahnya, UMMAH dan MPM berkeyakinan penuh Seri Paduka Baginda terus menjadi tonggak utama dan berperanan memayungi pemerintahan negara bagi mengukuhkan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan negara – airtimes.my