KUALA LUMPUR, 28 Jan – Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak penganjuran Malaysia dalam Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.
Keputusan drastik itu dibuat Lembaga Pengarah IPC dalam mesyuarat di London semalam selepas Malaysia gagal membenarkan penyertaan atlet Israel dalam kejohanan itu.
Pada 9 Januari lalu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) ‘berdepan situasi ditelan mati emak, ¬diluah mati bapa’ selepas Israel mengeluarkan amaran untuk memberi tekanan kepada Malaysia de¬ngan melibatkan IPC, Jawatankuasa Paralimpik Eropah dan Jawatankuasa Olimpik Atlet seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Presiden IPC, Andrew Parsons berkata, setiap Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada setiap atlet yang layak dan setiap negara bebas bertanding tanpa sebarang diskriminasi.
“Apabila negara penganjur meminggirkan atlet dari negara tertentu atas tujuan politik, kami tiada pilihan lain selain mencari pihak penganjur baru.
“Gerakan paralimpik sentiasa bermotivasikan keinginan kepada penyatuan dan bukannya perpecahan.
“Tidak kira mana-mana negara yang terlibat dalam perkara seperti ini, IPC akan mengambil keputusan yang sama sekali lagi andai perkara tersebut masih berulang,” katanya.
Parsons turut mendedahkan MPM pernah memberikan jaminan bahawa kesemua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan untuk bertanding dengan jaminan keselamatan sewaktu mereka menandatangani kontrak pada September 2017.
“Sejak itu, terdapat perubahan kepimpinan politik dan Kerajaan Malaysia yang baru mempunyai idea yang berbeza.
“Politik dan sukan tidak pernah menjadi gabungan yang baik dan kami kecewa kerana atlet dari Israel tidak dibenarkan untuk bersaing di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, Malaysia tegas dengan pendiriannya dan tidak akan berkompromi.
“Jika menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa lebih pen¬ting daripada berdiri untuk saudara-saudara Palestin kita yang telah dibunuh, dicederakan dan diseksa oleh rejim Netanyahu, ini bermakna Malaysia telah benar-benar kehilangan moralnya,” kata Syed Saddiq.