KUALA LUMPUR, 7 Mac – Pengukuhan semangat jati diri dan peningkatan pengetahuan pegawai serta anggota Wanita Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus dititikberatkan.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, program seperti Sambutan Hari Wanita dan Program Wanita Solehah TDM ini dapat dapat memberi impak kepada Wanita TDM untuk meningkatkan kualiti kerja pada masa akan datang.
Menurutnya, aktiviti sebegini sebenarnya memberi peluang serta ruang untuk meningkatkan kemampuan diri dalam membantu organisasi untuk membina modal insan yang cemerlang,
“Wanita TDM dilihat semakin relevan dalam pelaksanaan tugas semasa ketenteraan seperti yang digariskan di dalam direktif Panglima Tentera Darat,
“Oleh yang demikian, peringkat tertinggi TDM sedang mengambil inisiatif untuk membangunkan taraf profesionalisme Wanita TD dalam membentuk hala tuju strategik”, jelas Zamrose.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita dan Program Wanita Solehah TDM yang diadakan di Masjid Khalid Al-Walid, pada Isnin.
Tambahnya, program sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Keutuhan Organisasi yang menekankan kompetensi warga dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam bidang ketenteraan serta bidang professional.
TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, Sambutan Hari Wanita TD ini merupakan kesinambungan kepada tradisi dan rejimental ketenteraan yang saban tahun diraikan oleh TDM.
Pada tahun ini, seramai 200 pegawai dan anggota wanita TDM serta jemputan pegawai kanan TD telah meraikan sambutan tersebut.
“Program sambutan pada kali ini adalah berkonsepkan Forum Hal Ehwal Wanita TD sebagai salah satu usaha untuk menambahkan pengetahuan Wanita TD tentang pemerkasaan peribadi dan kecerdasan spiritual,” jelas TDM.-airtimes.my