Konflik Ukraine dan ketegangan di Timur Tengah telah mengubah cara negara Barat melihat stok senjata mereka. Misil, peluru berpandu pemintas, roket dan peluru artileri yang sebelum ini dianggap mencukupi kini digunakan dalam kadar yang jauh lebih pantas berbanding situasi dunia sebelum ini.
Teknologi tinggi masih penting, tetapi konflik berpanjangan menunjukkan had yang lebih asas iaitu senjata moden perlu dihasilkan, disimpan, dihantar dan diganti secara berterusan. Apabila kadar penggunaan mengatasi kadar pengeluaran, negara maju sekalipun boleh berdepan tekanan inventori.
Amerika Syarikat (AS) misalnya, telah menyalurkan bantuan ketenteraan besar kepada Ukraine sejak permulaan konflik dengan Rusia pada Februari 2022. Jabatan Pertahanan AS pada Januari 2025 menyenaraikan bantuan termasuk sistem Patriot, NASAMS, HAWK, Stinger, Javelin, TOW dan lebih 3 juta peluru artileri 155mm kepada Ukraine. Bantuan ini penting untuk kelangsungan pertahanan Ukraine, tetapi ia juga memberi tekanan kepada stok dan jadual penggantian senjata AS sendiri.
Mengapa misil cepat menjadi isu kritikal
Tidak semua senjata mudah diganti, peluru senapang atau peluru artileri biasa juga memerlukan bahan mentah, kilang, pekerja, bahan letupan dan jadual pengeluaran. Misil pula lebih rumit kerana ia mempunyai enjin, sistem panduan, sensor, bahan elektronik, komponen khusus dan proses ujian yang ketat.
Sebab itu, isu sebenar bukan hanya “berapa banyak misil ada dalam simpanan”. Soalan lebih penting ialah berapa cepat misil itu boleh diganti selepas digunakan. Jika satu negara menggunakan ratusan misil pemintas dalam beberapa minggu, tetapi industri hanya mampu menggantikannya dalam tempoh berbulan-bulan atau bertahun-tahun, jurang kesiapsiagaan akan muncul.
Keadaan ini lebih ketara bagi misil pertahanan udara. Misil pemintas seperti Patriot, THAAD atau Standard Missile bukan senjata murah dan mudah dihasilkan. Ia digunakan untuk menembak jatuh ancaman yang semakin banyak, termasuk misil balistik, peluru berpandu kruis dan dron. Dalam beberapa keadaan, kos pemintas boleh jauh lebih tinggi berbanding kos ancaman yang dipintas. Namun, kegagalan memintas pula boleh menyebabkan kerosakan besar kepada bandar, pangkalan, kapal atau infrastruktur kritikal.
Ukraine dan Timur Tengah menekan stok Barat

THAAD merupakan sistem peluru berpandu anti-balistik canggih buatan AS yang direka untuk memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik jarak dekat, sederhana, dan pertengahan di fasa penerbangan terakhir (terminal phase)./Foto: U.S. Department of Defense
Ukraine menjadi medan utama yang mendedahkan masalah ini, Rusia menggunakan misil, dron dan artileri secara berterusan. Ukraine pula memerlukan sistem pertahanan udara dan munisi dalam jumlah besar untuk mempertahankan bandar, loji tenaga, pangkalan dan pasukan di medan hadapan.
Pada masa sama, Timur Tengah turut menekan stok pemintas Barat. CSIS melaporkan bahawa dalam konflik 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun 2025, Iran dilaporkan melancarkan sekitar 550 misil balistik ke arah Israel. Dalam tempoh itu, AS dilaporkan menggunakan lebih 150 pemintas THAAD dan kira-kira 80 SM-3 untuk membantu memintas ancaman tersebut.
Angka seperti ini penting kerana ia menunjukkan bagaimana penggunaan dalam satu krisis singkat pun boleh memberi kesan kepada stok strategik. Jika beberapa krisis berlaku serentak menerusi perang Ukraine, Timur Tengah dan kemungkinan ketegangan di Indo-Pasifik, negara pengeluar perlu memilih keutamaan. Keputusan menghantar misil kepada satu rakan akan menyebabkan stok senjata untuk kawasan lain akan menjadi lebih terhad.
Dunia kembali kepada “peperangan industri”
Selepas Perang Dingin, banyak negara Barat mengurangkan stok besar dan mengecilkan kapasiti industri pertahanan. Perancangan lebih tertumpu kepada operasi terhad, peperangan pendek dan penggunaan senjata berketepatan tinggi. Model ini kelihatan memadai ketika operasi ketenteraan tidak melibatkan penggunaan munisi besar secara berterusan.
Perang Ukraine mengubah semula andaian itu, NATO sendiri menyatakan bahawa pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dan kembalinya perang di Eropah telah mencabar andaian strategik serta pelaburan industri pertahanan yang dibentuk sejak tiga dekad lalu. Pelan pengeluaran pertahanan NATO menekankan keperluan untuk menghasilkan lebih banyak dan lebih cepat dalam persekitaran keselamatan yang berubah.
Kesatuan Eropah juga memperkenalkan Act in Support of Ammunition Production bagi membantu penghantaran munisi dan, jika diminta, misil kepada Ukraine, selain mengisi semula stok negara anggota. Program itu bertujuan mempercepat peningkatan kapasiti pengeluaran peluru dan komponen berkaitan.
Mengapa negara maju turut bimbang
Negara maju mempunyai kelebihan teknologi, tetapi itu tidak bermakna mereka kebal daripada kekurangan stok. Sistem senjata moden semakin kompleks. Komponen elektronik mungkin datang daripada beberapa negara. Bahan letupan, motor roket, cip, bahan komposit dan sensor pula memerlukan pembekal khusus.
Tambahan pula, industri pertahanan tidak boleh dinaikkan seperti suis lampu. Kilang baharu memerlukan modal, kelulusan, pekerja, mesin, keselamatan, audit dan pesanan jangka panjang. Syarikat pertahanan juga berhati-hati untuk melabur jika kerajaan tidak memberi kontrak yang stabil. Akibatnya, walaupun wang sudah diperuntukkan, senjata belum tentu sampai segera.
Di sinilah negara Barat menghadapi dilema. Mereka mahu membantu Ukraine, mempertahankan sekutu di Timur Tengah, mengekalkan kehadiran di Indo-Pasifik dan pada masa sama menjaga stok sendiri. Semua itu memerlukan munisi. Dalam keadaan aman, stok mungkin kelihatan mencukupi. Dalam perang panjang, kiraannya berubah.
Pengajaran untuk Malaysia

Laut China Selatan merupakan wilayah maritim yang sangat kritikal bagi kedaulatan, keselamatan, dan kelangsungan ekonomi Malaysia./Foto: TLDM
Malaysia tidak berada dalam situasi perang seperti Ukraine atau Israel. Namun, pengajaran strategiknya tetap relevan. Kesiapsiagaan pertahanan tidak boleh diukur melalui bilangan platform semata-mata. Kapal, pesawat, radar dan sistem persenjataan hanya benar-benar bernilai jika disokong munisi, alat ganti, latihan, penyelenggaraan dan rantaian bekalan yang tahan lama.
Kertas Putih Pertahanan Malaysia meletakkan negara ini sebagai negara maritim dengan akar benua, serta berada di kedudukan penting antara rantau Asia-Pasifik dan Lautan Hindi. Kedudukan itu menjadikan Malaysia perlu berfikir tentang keselamatan maritim, ruang udara, sempadan, Laut China Selatan dan Selat Melaka secara bersepadu.
Malaysia tidak perlu meniru model stok perang negara besar kerana keperluan kita berbeza. Namun, prinsipnya sama, stok simpanan perang mesti dirancang secara realistik, bukan dianggap perkara sampingan selepas pembelian platform. Negara kecil dan sederhana lebih perlu berhati-hati kerana ruang fiskal lebih terhad, manakala rantaian bekalan banyak bergantung kepada luar.
Ketika krisis, senjata yang tidak tersedia pada waktunya hampir sama seperti senjata yang tidak dimiliki. Dunia mungkin belum kembali sepenuhnya kepada perang industri abad ke-20, tetapi peperangan moden jelas sedang menguji semula perkara asas: siapa mampu bertahan, siapa mampu menghasilkan, dan siapa mempunyai stok mencukupi apabila keadaan menjadi panjang.
Bagi Malaysia, pengajaran paling penting bukan untuk panik atau membesar-besarkan ancaman. Pengajarannya ialah membina kesiapsiagaan yang jujur, pertahanan negara bukan hanya soal membeli aset baharu tetapi ianya untuk memastikan aset itu boleh digunakan, diselenggara, dipersenjatai dan dikekalkan apabila negara benar-benar memerlukannya. -airtimes.my
