SEMPORNA, 10 Okt – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 100,000 liter minyak petrol dan diesel di kawasan perairan Pulau Mantabuan, pada Sabtu.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, anggotanya juga telah menahan 6 orang lelaki berbangsa Bajau dan Suluk dalam serbuan tersebut.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, Pasukan Tindak Balas Pantas (Quick Reaction Force, QRF) bersama Bot Viper 02 yang sedang melaksanakan rondaan, telah mengesan sebuah kapal tangki dalam keadaan mencurigakan sedang belayar menuju arah keluar perairan Malaysia.
Menurutnya, anggota QRF telah merapat dan membuat pemeriksan awal terhadap kapal tangki tersebut dan mendapati kapal tersebut membawa tong-tong berwarna biru berisi minyak diesel.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa minyak berkapasiti sebanyak 100,000 liter petrol di dalam tangki simpanan, 48 tong berkapasiti 200 liter minyak diesel dengan jumlah sebanyak 9,600 liter,
“Manakala 80 tong berkapasiti 200 liter lagi kosong tiada minyak yang diisi,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, daripada 6 lelaki yang ditahan, hanya tekong dan seorang awak-awak sahaja yang mempunyai kad pengenalan Malaysia.
“Seorang mempunyai sijil kelahiran, seorang lagi mempunyai pasport Filipina manakala 2 orang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 17 hingga 47 tahun,” ujarnya.
Kemudian, anggota QRF bersama Viper 02 telah mengiringi kapal tangki tersebut ke Jeti Azumi dan kesemua OKT juga telah dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19.
Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna dan semua OKT diserahkan untuk tindakan lanjut.
IPD Semporna akan menguruskan penyerahan OKT kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Semporna manakala kapal dan barang rampasan ditempatkan sementara di Jeti Azumi menunggu KPDNHEP membuat siasatan. -airtimes.my