Home Pertahanan dan Keselamatan ATB 2 gagalkan cubaan bot seludup keluar minyak petrol di Pulau Danawan

ATB 2 gagalkan cubaan bot seludup keluar minyak petrol di Pulau Danawan

by Nurulhuda

SEMPORNA, 3 Okt – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah mematahkan cubaan penyeludupan 178 tong minyak petrol dengan menahan 2 buah bot jongkong di perairan Pulau Danawan pada Jumaat lalu.

Penahanan tersebut adalah hasil anggota petugas Radar Coastal Surveilliance System (CSS) yang bertugas pada jam 8.14 malam telah berjaya mengesan 2 objek mencurigakan bergerak dari kawasan perairan berkenaan.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam kenyataan berkata, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakan bagi mengesan dan membuat pintasan objek tersebut yang dikesan bergerak dari arah Tenggara Pulau Danawan dalam perjalanan menuju ke arah luar sempadan perairan Sabah.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot pertama bersama 4 orang awak-awak dan bot kedua bersama 2 orang awak-awak berbangsa Bajau Laut, warga negara Filipina,

“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas kenyataan itu.

Menurut MK AB, hasil pemeriksaan mendapati bot pertama membawa sebanyak 88 tong berkapasiti 25 liter minyak petrol berjumlah 2,200 liter.

Manakala bot kedua membawa sebanyak 90 tong berkapasiti 25 liter minyak petrol berjumlah 2,250 liter dengan jumlah keseluruhan minyak petrol sebanyak 4,450 liter.

Kemudian, Tim QRF telah menunda bot berkenaan ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna bersama awak-awak bot atas kesalahan melanggar perintah berkurung dan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Antara barang-barang yang dirampas ialah 2 buah enjin Yamaha 75 Hp bernilai RM50,000.00, 2 buah enjin Yamaha 40Hp bernilai RM24,000.00 bersama 2 buah bot jongkong bernilai RM16,000.00,

“Selain itu, turut dirampas, minyak petrol sebanyak 4,450 liter bernilai RM9,122.50. Jumlah keseluruhan barang rampasan bernilai RM99,122.50,” jelasnya. -airtimes

Related Articles

Leave a Reply