KUALA LUMPUR, 14 Dis – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diminta mengadakan rundingan dengan kerajaan Singapura membabitkan isu berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Kabinet hari ini meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap pulau yang kini sudah diserahkan kepada Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.
“Kita minta Peguam Negara bagi penjelasan tentang kontroversi tuntutan Batu Puteh yang sekarang sudah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ dan beberapa kesan sampingannya,
“Kerajaan juga meminta supaya ia diteliti semula supaya ada rundingan yang lebih bermakna dan segera dengan Singapura supaya tidak ada masalah berbangkit dari sudut hubungan 2 negara sahabat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini. -airtimes.my