SUBANG, 17 Dis – Setiap anggota tentera harus memiliki sikap jujur dan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh pihak atasan.
Penerima anugerah ‘Airman of the Year’, Pegawai Waran Udara 2, Iskandar Mirza Husin berkata amanah dalam melaksanakan sesuatu tugasan merupakan intipati amalan yang dipegang sepanjang 19 tahun berkhidmat.
“Sepanjang saya berkhidmat, saya tidak kejar anugerah ‘Airman of the Year’ kerana saya hanya melaksanakan tugas ini demi tanggungjawab dan amanah, selebihnya dinilai sendiri oleh pegawai atasan,
“Ini juga merupakan dorongan untuk saya mengekalkan prestasi dan menunjukkan budaya kerja yang cemerlang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2019, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang bertugas di Rejimen TUDM Jugra berharap dengan kejayaan yang diperolehnya hari ini dapat menjadi mentor dan pembakar semangat kepada anggota lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.
Selain Iskandar, turut menerima anugerah ‘Airman of the Year’ ialah Flait Sarjan Hong Kim Soon bagi kategori Flait Sarjan Udara dan Sarjan Udara. Manakala Koperal Udara Abdul Jalil Saad kategori Koperal Udara ke bawah.
Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2019 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pangkalan Udara Subang.