KUALA LUMPUR, 29 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan 2 orang rakyat Taiwan yang disyaki terlibat dengan kes tembakan di negara itu, susulan tangkapan yang dibuat minggu lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika memasuki negara ini melalui penerbangan dari Taiwan pada 20 April lalu.
Jelasnya, kedua-dua suspek adalah orang dikehendaki oleh pihak polis Taiwan kerana disyaki terbabit dengan kes tembakan di negara itu.
“Kedua-dua suspek merupakan orang yang dikehendaki oleh pihak polis Taiwan kerana disyaki terlibat dengan kes tembakan di Taiwan dan dipercayai merupakan ahli kongsi gelap serta anggota sindiket ‘scammer’,
“Mereka ditangkap susulan waran tangkap oleh pihak berkuasa Taiwan dan pembatalan pasport oleh kerajaan Taiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tangkapan terhadap 2 suspek berkenaan dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 ketika mereka tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemudian, kedua-dua suspek berkenaan diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA untuk dibawa pulang ke negara asal mereka pada 2.45 petang, semalam.
“Kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan pihak berkuasa Taiwan dan kolaborasi berkenaan akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek terbabit di Malaysia,
“PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Langkah-langkah keselamatan akan diambil bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan sebagai negara transit atau destinasi untuk mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya lagi. -airtimes.my