KUALA LUMPUR, 9 JUN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menganjurkan Sidang Kemuncak Indo-Pacific Health Alliance for Security (IPHAS) Ke-3 di Kuala Lumpur bagi memperkukuh kesiapsiagaan terhadap ancaman Chemical, Biological, Radiological, and Nuclear (CBRN).
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sidang kemuncak itu berlangsung pada 7 hingga 8 Jun lalu.
Persidangan itu dihoskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM bersama Command Surgeon U.S. Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan Surgeon General Australian Defence Force (ADF).
Menurut kenyataan itu, IPHAS 2026 membawa tema Civil Military Collaboration for Whole of Society Resilience. Penganjuran berkenaan turut mengukuhkan sinergi pertahanan bersama agensi strategik negara melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“IPHAS yang ditubuhkan pada 2022 kekal sebagai satu-satunya kerangka keselamatan kesihatan awam-tentera yang beroperasi merentas rantau Indo-Pasifik selain tumpuan utama diterjemahkan menerusi perbincangan strategik mengenai ancaman CBRN.

Sidang Kemuncak Indo-Pacific Health Alliance for Security (IPHAS) Ke-3./Foto: Markas ATM
“Agenda kritikal ini dibincangkan secara mendalam bersama delegasi Amerika Syarikat yang diketuai oleh USINDOPACOM Command Surgeon, CAPT Roberts, berserta pakar daripada National Guard Bureau dan Washington National Guard,” katanya pada Selasa.
Menurut ATM, IPHAS kali ini menggariskan objektif untuk membina kapasiti pertahanan biologi. Ia turut memberi tumpuan kepada peningkatan kebolehoperasian pasukan keselamatan rentas sempadan.
Selain itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh menegaskan bahawa ancaman kesihatan kini merupakan teras keselamatan nasional yang berpotensi menggugat fungsi kritikal kerajaan, kestabilan negara, dan kesejahteraan rakyat.
“Inisiatif penganjuran ini sejajar dengan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, yang menggariskan kepentingan diplomasi pertahanan dalam melindungi kedaulatan negara daripada krisis asimetrik,” ujarnya.
Secara keseluruhan, sidang kemuncak ini menghimpunkan pemimpin ketenteraan, awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari lebih 21 buah negara. -airtimes.my
