KUCHING, 10 Mac – Anggota tentera yang bertugas di Kem Semenggo, Kuching, Sarawak kini boleh tersenyum, apabila mereka menerima Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) telah siap dibina baharu dan dibaikpulih.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan perasmian RKAT baharu itu, sempena rangka lawatan ulung ke Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD), hari ini.
TDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, projek pembinaan RKAT Kem Semenggo ini telah dicadangkan oleh Kementerian Pertahanan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 yang lalu.
“Kerja-kerja pembinaan dan membaikpulih melibatkan sebanyak 223 unit rumah telah bermula pada 9 Mac 2017,
“Keseluruhan projek pembinaan dan baikpulih ini telah siap sepenuhnya pada 22 Julai 2020, yang lalu,” katanya.
Menurutnya, pembinaan RKAT ini, secara tidak langsung telah menyelesaikan permasalahan berkaitan penempatan dan kediaman anggota TDM.
“RKAT ini bukan sahaja didiami oleh anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD), turut dihuni oleh anggota TDM yang bertugas di unit-unit berhampiran,” ujarnya.
Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima Briged Ketiga Infantri (3 Bgd), Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad. – airtimes.my
Gambar galeri: