KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Kerajaan hari ini memutuskan agar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) yang dilaksanakan di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Perlis ditamatkan esok, (26 Ogos 2020).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 4 mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah juga ditamatkan pada tarikh yang sama.
Beliau berkata penamatan itu dibuat setelah mengambil kira tiada kes postif baharu di kawasan berkenaan dan kesemua penduduk di kawasan yang terlibat telah disaring COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“KKM telah menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap,
“Terdapat beberapa kes positif dilaporkan di 4 daerah di Kedah yang melibatkan Kluster Tawar,
“Sehubungan itu, KKM memutuskan bahawa TEMCO tidak perlu dikenakan kerana kawalan secara kumpulan bersasar masih boleh memastikan jangkitan tersebut terkawal,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan TEMCO di 4 kawasan di Kedah iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap ekoran penularan COVID-19 yang berpunca daripada Kluster Sivagangga.
Manakala, TEMCO di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis telah dilaksanakan pada 10 Ogos hingga 31 Ogos 2020. –airtimes.my