Di sebalik tirai kerahsiaan, China berjaya menembusi pasaran pertahanan Eropah apabila Serbia menjadi antara negara terawal di luar Asia yang memperoleh versi eksport sistem HQ-22, FK-3. Langkah ini bukan sahaja mencetuskan pelbagai reaksi di Barat, malah mengukuhkan lagi kedudukan Beijing sebagai pembekal utama sistem pertahanan udara kepada negara bukan anggota NATO.
Dalam usaha mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara jarak sederhana dan jauh, China telah memperkenalkan sistem HQ-22 yang menjadi tulang belakang sistem pertahanan dan sebahagian daripada transformasi besar-besaran dalam struktur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China.
HQ-22 yang muncul sebagai pengganti kepada HQ-2 yang sudah usang dan pelengkap kepada HQ-9, sistem ini mencerminkan pendekatan strategik Beijing dalam membina sistem pertahanan udara berlapis yang lebih tangkas, moden dan bersepadu.
HQ-22 direka oleh China Aerospace Science and Industry Corporation (CASIC) dan diperkenalkan secara rasmi kepada umum sekitar tahun 2016. Sistem ini juga dikenali sebagai FK-3 dalam versi eksport dan diiklankan sebagai sistem pertahanan udara jarak sederhana hingga Jarak jauh yang mampu menangani pelbagai ancaman termasuk pesawat pejuang, peluru berpandu kruis serta dron.
Ia menempatkan dirinya antara sistem jarak sederhana seperti HQ-16 dan sistem jarak jauh seperti HQ-9, sekali gus mengisi jurang penting dalam ekosistem pertahanan udara PLA.
Setiap unit HQ-22 biasanya terdiri daripada radar pengesanan, pusat kawalan tembakan serta pelancar peluru berpandu yang dipasang pada trak mobil. Peluru berpandunya pula menggunakan sistem pemanduan semi-aktif dan radar aktif yang membolehkan peluru mengunci sasaran pada peringkat akhir penerbangan. HQ-22 mempunyai jarak serangan sehingga 170 kilometer dan ketinggian pemintasan sekitar 27 kilometer, menjadikannya efektif terhadap sasaran pada pelbagai lapisan.

Serbian FK-3/HQ-22 Air Defence System. FOTO: Serbian MoD
Salah satu kelebihan utama sistem ini adalah keupayaan gangguan elektronik yang tinggi. HQ-22 direka untuk beroperasi dalam persekitaran peperangan elektronik kompleks dan mampu menentang serangan peluru berpandu dengan tahap ketepatan yang tinggi.
Radar kawalan tembakannya pula menggunakan teknologi ‘phased array’ yang membolehkan pengesanan sasaran secara serentak dalam pelbagai arah, serta pengesanan terhadap sasaran berkelajuan tinggi seperti peluru berpandu kruis.

Serbia membeli sistem pertahanan udara HQ-22, yang dikenal sebagai FK-3 dalam versi eksport pada tahun 2019. FOTO: Serbian MoD
Dari sudut penempatan domestik, HQ-22 telah digunakan secara meluas dalam pelbagai wilayah strategik China. Ia dilihat beroperasi di kawasan sensitif seperti berhampiran Selat Taiwan, wilayah Tibet, dan dalam gugusan pulau-pulau yang menjadi tumpuan ketenteraan di Laut China Selatan. Sistem ini memberi keupayaan tindak balas pantas kepada unit pertahanan udara PLA terhadap sebarang pencerobohan ruang udara secara tiba-tiba.
Berdasarkan pengamatan pakar ketenteraan antarabangsa, HQ-22 turut berfungsi sebagai satu bentuk ‘strategic backstop’ dalam pertahanan berlapis PLA. Ia memberikan opsyen pemintasan kedua jika sasaran berjaya melepasi rangkaian pertahanan pertama seperti HQ-16 atau sistem pertahanan jarak dekat. Dalam konteks ini, HQ-22 menjadi tulang belakang pertahanan kawasan penting termasuk pangkalan udara, loji tenaga, dan kemudahan kawalan radar strategik.
Walaupun sistem ini belum diuji secara terbuka dalam konflik bersenjata seperti sistem Patriot atau S-400, prestasinya dalam latihan ketenteraan besar-besaran PLA menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.Beijing jelas menggunakan HQ-22 bukan sekadar sebagai platform ketenteraan tetapi juga sebagai instrumen pengaruh geopolitik, khususnya dalam pasaran eksport senjata ke negara-negara membangun.
Dalam era konflik berasaskan peluru berpandu dan dron yang semakin sofistikated, HQ-22 menjadi manifestasi pendekatan China dalam memperkukuh kedaulatan ruang udara. Ia bukan sahaja menawarkan daya pemintasan yang kompetitif tetapi juga fleksibiliti operasi dalam senario peperangan moden -airtimes.my
#AirTimes #HQ-22 #SistemPertahananUdaraChina #FK3 #PLA #Global
