Dalam dunia peperangan maritim moden, saiz bukan lagi penentu utama kekuatan. Sebaliknya, kelajuan, keupayaan penyamaran, dan taktik menjadi faktor dominan. Inilah falsafah yang diterjemahkan oleh China melalui pembangunan kapal peluru berpandu serangan pantas Type 22, sebuah aset kecil tetapi berpotensi besar dalam mengubah keseimbangan kuasa di perairan pesisir.
Kapal Type 22, atau turut dikenali dengan kod NATO sebagai kelas Houbei, merupakan bot peluru berpandu serangan pantas yang mula diperkenalkan oleh Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAN) sekitar awal tahun 2004. Direka khusus untuk operasi di kawasan pesisir, kapal ini menampilkan gabungan reka bentuk halimunan, kelajuan tinggi dan kuasa tembakan yang signifikan. Walaupun bersaiz kecil, keupayaannya untuk beroperasi secara berkumpulan menjadikannya ancaman yang amat serius kepada armada permukaan yang jauh lebih besar.
Reka bentuk unik dan kelebihan halimunan
Salah satu ciri paling menonjol pada Type 22 ialah penggunaan reka bentuk badan katamaran penembus ombak (wave-piercing catamaran). Tidak seperti kapal konvensional yang menggunakan satu badan utama, reka bentuk dua badan yang asalnya diinspirasikan daripada kejuruteraan maritim firma AMD Marine Consulting ini memberikan kestabilan yang lebih mantap ketika beroperasi pada kelajuan tinggi. Pada masa yang sama, struktur aluminium ini turut membantu mengurangkan rintangan ombak secara mendadak, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan taktikalnya di laut yang bergelora.
Selain itu, kapal ini direka secara meluas dengan ciri halimunan yang bertujuan untuk mengurangkan profil keratan rentas radar (radar cross-section). Permukaan badan kapal yang condong dan penggunaan cat penyamaran persekitaran laut membantu mengurangkan pantulan gelombang radar secara drastik. Dalam konteks operasi ketenteraan, elemen teknikal ini membolehkan Type 22 menghampiri zon sasaran tanpa mudah dikesan lebih awal. Ini adalah satu kelebihan yang amat kritikal dalam doktrin peperangan elektronik moden.
Dipacu oleh dua buah enjin diesel berserta sistem dorongan jet air (waterjet) keluaran Kamewa, jentera laut yang tangkas ini mampu memecut dengan mudah sehingga mencapai kelajuan maksimum antara 36 hingga 40 knot. Menurut laporan media ketenteraan Army Recognition, penggunaan sistem pendorong waterjet ini bukan sahaja membolehkannya mencapai kelajuan tinggi, malah meningkatkan keupayaan olah gerak di perairan cetek. Keupayaan ini amat penting dalam operasi pesisir yang lazimnya melibatkan kawasan sempit, gugusan terumbu, dan persekitaran maritim yang kompleks.
Kuasa tembakan kecil tetapi berbisa
Walaupun hanya mempunyai ukuran panjang sekitar 42.6 meter dengan berat sesaran penuh lebih kurang 220 tan, Type 22 dilengkapi dengan susunan persenjataan yang cukup menggerunkan bagi sebuah platform bersaiz kecil. Kapal ini direka untuk membawa muatan sehingga lapan butir peluru berpandu antikapal YJ-83 di dalam dua buah ruang pelancar tertutup di bahagian belakang. Peluru berpandu moden ini mempunyai keupayaan untuk memusnahkan sasaran sejauh kira-kira 200 kilometer pada trajektori penerbangan rapat ke permukaan laut (sea-skimming) dengan tahap ketepatan yang jitu.
Keupayaan serang jarak jauh ini membolehkan kru Type 22 melaksanakan kempen serangan terhadap kapal permukaan musuh tanpa perlu berada terlalu hampir dengan zon konflik. Strategi ini secara langsung berjaya mengurangkan risiko kemusnahan terhadap platform serangan itu sendiri.
Sebagai pelengkap pertahanan, kapal ini turut menempatkan sistem senjata pertahanan rapat (CIWS) model AK-630 yang menggunakan meriam automatik 30mm bermata enam di haluan kapal. Meriam ini dikhususkan bagi tujuan pertahanan jarak dekat, terutamanya dalam menghadapi ancaman serangan asimetri seperti bot kecil penceroboh atau menembak jatuh peluru berpandu dan dron beraltitud rendah. Rangkuman persenjataan ini menobatkan Type 22 sebagai sebuah aset yang ofensif dan pada masa yang sama mempunyai keupayaan kelangsungan hidup yang tinggi di tengah kancah pertempuran.
Menurut laporan media ketenteraan Military Factory, konsep utama penggunaan Type 22 adalah untuk melancarkan serangan peluru berpandu secara mengejut terhadap kapal musuh yang lebih besar dan bernilai tinggi. Berpandukan gabungan profil kelajuan dan kerangka halimunan yang dimiliki, jentera tempur ini berupaya melepaskan tembakan maut sebelum segera membuat pusingan berundur ke kemudahan pangkalan berhampiran. Taktik pukul dan lari ini menjadikannya sebagai instrumen serangan yang sangat efisien dalam sebarang bentuk pertelingkahan lautan berintensiti tinggi.

Taktik kawanan bagi mengempur kapal besarÂ
Kekuatan sebenar jentera pemburu ini tidak wajar dinilai atas kapasiti satu unit secara individu, sebaliknya kehebatan ia terletak pada doktrin penggunaannya secara kolektif. China dipercayai telah memulakan pengeluaran yang agresif dan siap membina lebih 80 buah kapal dalam kelas ini untuk membentuk armada tempur pesisir yang masif. Kapasiti angka ini membuka laluan kepada pelaksanaan operasi secara berkumpulan berdasarkan prinsip serangan kawanan (swarm tactics). Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menggandakan unjuran ancaman, malah merumitkan bacaan taktik oleh bilik gerakan musuh.
Dalam senario konflik perairan sebenar, kumpulan kapal ini sering beroperasi berbekalkan keupayaan sistem pautan data (C4) yang canggih. Kelebihan ini bermakna radar sasaran tidak dipancarkan oleh kapal itu sendiri bagi mengelakkan kedudukan mereka terbongkar. Sebaliknya, beberapa kapal Type 22 akan menerima hantaran data secara masa nyata daripada pesawat rondaan maritim dan mula melancarkan peluru berpandu secara serentak dari pelbagai arah terhadap satu sasaran yang sama.
Taktik kepungan misil ini memberikan tekanan komputasi dan fizikal yang amat dahsyat kepada sistem pertahanan kapal musuh. Dalam senario langit dipenuhi puluhan peluru berpandu yang menyusur masuk secara bertubi-tubi pada arah yang berbeza, radar dan sistem pencegat (interceptor) armada pertahanan kemungkinan besar akan mencapai titik tepu operasi dan mula gagal memintas ancaman tersebut. Sungguhpun terdapat kebarangkalian kehilangan satu atau dua bot peronda murah di pihak penyerang, matlamat akhir untuk menenggelamkan sasaran berprofil tinggi tentera musuh pasti tetap akan tercapai.
Pendekatan asimetri pertahanan sebegini amat seiring dengan kehendak tentera China bagi menyekat ruang lingkup kebebasan musuh atau dikenali sebagai doktrin Penafian Akses/Penafian Kawasan (A2/AD). Falsafah peperangan laut tidak lagi bersandar sepenuhnya kepada kehebatan pembinaan kapal besar yang menelan belanjawan bilion dolar. Strategi pengepungan kawasan pesisir ini tampil amat relevan untuk digunakan di lokasi seperti Laut China Selatan yang menonjol dengan ciri geografi kepulauan yang kompleks. Dalam medan tempur geografi sedemikian, kapal kompak seperti Type 22 ini mampu bermanuver secara tangkas, mencari perlindungan di sebalik alur pelayaran yang mencabar, dan menerpa keluar melancarkan serangan balas sebelum kembali ghaib ke dalam kesibukan trafik maritim serantau.

Impak strategik dan masa depan pertahanan asimetri
Platform Type 22 membuktikan secara empirikal bahawa keunggulan operasi tidak semestinya diukur pada kelebaran rentang kapal atau angka sesaran semata-mata. Menerusi manipulasi reka bentuk sains kejuruteraan yang inovatif, adunan teknologi peluru berpandu, dan pelaksanaan perancangan pertempuran yang selari, jentera kecil berupaya mencipta ketegangan geopolitik yang menggugat keselesaan kuasa dominan serantau.
Dalam konteks keselamatan serantau, kehadiran kapal seperti Type 22 memberi gambaran jelas tentang perubahan pendekatan dalam peperangan laut moden. Negara-negara kini semakin memberi perhatian kepada pembangunan aset bersaiz kecil yang fleksibel, berkeupayaan tinggi dan sukar dikesan, berbanding hanya bergantung kepada kapal permukaan utama yang berskala besar. Peralihan ini turut dipengaruhi oleh faktor kos, keperluan operasi di kawasan pesisir serta peningkatan ancaman asimetri.
Secara tidak langsung, corak pemodenan persenjataan ini menjadi testimoni bahawa kerangka dasar keselamatan sesebuah negara mesti bersifat lentur dan cepat berubah adaptasinya menuruti kebangkitan sains pertahanan. Kebolehan untuk menghantar isyarat ancaman taktikal yang tidak terjangka dan menggempur tanpa disedari telah diangkat sebagai penentu kelangsungan sesebuah armada perang.
Persoalannya yang paling mendesak kini, sejauh manakah negara-negara jiran di Asia Tenggara mempunyai tahap kesediaan atau perisai teknologi yang ampuh untuk menangkis bentuk serangan asimetri seperti ini? Adakah doktrin pertahanan pesisir sedia ada mampu menampan asakan ancaman yang tidak pernah dijangkakan ini, atau pihak berwajib masih dibuai bayangan strategi zaman perang sejuk tatkala ruang perairan mula diintai armada kapal tempur bertaraf pemburu senyap ini. – airtimes.my
