[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ijcNQTZwkQA[/embedyt]
PEGAWAI perubatan penerbangan memainkan peranan penting sebelum pegawai dan anggota melakukan latihan payung terjun serta penerjunan bebas di aras tinggi atau dikenali High Altitude Low Opening (HALO) dan High Altitude High Opening (HAHO).
Tugas pegawai perubatan penerbangan turut memainkan peranan penting untuk memberikan perkhidmatan perubatan dan latihan aerofisiologi kepada anak kapal serta anggota payung terjun bagi memastikan setiap penerjun berada dalam keadaan sihat sebelum melakukan sebarang penerjunan.
Pegawai Perubatan Penerbangan, Mejar Dr Munawarah Silam Abu Muslim berkata, anggota payung terjun yang membuat latihan HALO dan HAHO perlu melakukan pemeriksaan berkala seperti yang telah ditetapkan.

Pegawai Perubatan Penerbangan, Mejar Dr Munawarah Silam Abu Muslim menjelaskan, tugas doktor dan paramedik sewaktu latihan penerjunan HAHO adalah memerhati tindak balas setiap penerjun ketika di dalam pesawat.
“Penerjun haruslah mempunyai taraf kecergasan yang tinggi atau Full Fit sebelum diaturgerak untuk melakukan sebarang penerjunan,
“Mereka juga seharusnya tidak mempunyai sebarang penyakit biasa yang boleh mengganggu tugasan seperti demam dan selesema,
“Penyakit sebegini boleh mengganggu penugasan di aras tinggi,” katanya kepada Air Times.
Beliau ditemui ketika Skuadron Sierra (Skn Sierra), Rejimen Ke-11 Gerak Khas (11 RGK) melaksanakan latihan HAHO dalam Eksesais Tedung Bara siri 1/2021 dengan menggunakan pesawat C-130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Eksesais yang dilaksanakan di Kem Iskandar Mersing itu berkonsepkan penerjunan bebas HAHO pada ketinggian 25,000 bersama peralatan dan kelengkapan bantuan oksigen.
Gangguan oksigen berisiko dapat hipoksia
Menurut Dr Munawarah, setiap penerjun HAHO perlu membuat persediaan dari segi kesihatan sebelum melakukan penerjunan iaitu dengan tidak mengambil sebarang ubat-ubatan yang tidak dibenarkan dan juga mempunyai rehat yang mencukupi.
“Penugasan di aras tinggi melibatkan pendedahan kepada bahaya hipoksia disebabkan oleh tekanan udara yang berkurangan,

Anggota penerjun HAHO sedang melakukan pemeriksaan bekalan oksigen sebelum menaiki pesawat.
“Hipoksia adalah keadaan dimana kita merasai kekurangan oksigen. Penugasan seperti penerjunan HAHO akan dilakukan diaras tinggi seperti 18,000 kaki yang mana bertekanan sangat rendah yang boleh merisikokan penerjun.
“Selain itu, penerjun juga boleh mendapat separa trauma dan juga kesejukan,” katanya.
Topeng oksigen dibekalkan kepada penerjun HAHO
Sebelum penerjunan dilakukan, anggota akan dibekalkan dengan peralatan topeng oksigen bagi mengelakkan tekanan oksigen yang rendah.
Ketika hendak melakukan penerbangan, doktor dan paramedik akan memeriksa kesihatan anggota penerjun terlebih dahulu.
“Jika penerjun tidak mencapai tahap kesihatan yang memuaskan tindakan selanjutnya akan diambil oleh doktor,

Anggota yang ingin membuat penerjunan bebas aras tinggi perlu sihat dari sebarang penyakit – Pegawai Perubatan Penerbangan, Mejar Dr Munawarah Silam Abu Muslim
“Ketika penerbangan, sekiranya sebarang penerjun menunjukan tanda-tanda seperti mengalami hipoksia, kita akan membuat pengasingan dan tidak membenarkan penerjunan itu berlaku,
“Sepanjang latihan, tugas doktor dan paramedik adalah memerhati tindak balas setiap penerjun. Sekiranya ada perkara luar biasa berlaku ketika didalam pesawat serta tindak balas itu tidak baik disebabkan oleh simptom hipoksia maka penerjun itu tidak dibenarkan melakukan penerjunan,” ujarnya.-airtimes.my

