ATHENS, 25 SEPT – Armada Global Sumud Flotilla memaklumkan mereka masih meneruskan pelayaran meskipun berdepan serangan malam sebelumnya yang menyebabkan kelewatan perjalanan.
Dalam kenyataan hari ini, penganjur menyatakan flotila kini sedang menuju ke perairan Greece sebelum bergabung dengan armada tempatan pada pagi esok untuk belayar bersama.
Mereka menjangkakan mengambil masa 4 hari lagi untuk tiba di zon berisiko tinggi, dan 6 hari untuk sampai ke Gaza.
Tambahnya, flotila tersebut kini berada kira-kira 521 batu nautika dari Gaza.
Menurut kenyataan itu, kapal penyelamat Life Support terus menjadi aset penting dalam memberikan bantuan kepada kapal serta peserta yang memerlukan sokongan sepanjang pelayaran.
“Walaupun berlaku serangan dan kerosakan kecil yang memerlukan penilaian semula, flotila kekal berada di laluan menuju Gaza,” kata kenyataan berkenaan.
Global Sumud Flotilla turut menegaskan mereka akan berkongsi kemas kini harian ketika menghampiri kawasan perairan Palestin.
Organisasi itu menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus memantau perjalanan mereka, dengan menyatakan “saksi dunia adalah pelindung mereka.”
Flotila berkenaan merupakan sebahagian daripada gerakan antarabangsa yang berhasrat menamatkan sekatan ke atas Gaza, di mana aktivis dan sukarelawan dari pelbagai negara menyertai misi pelayaran tersebut. – airtimes.my
#GlobalSumudFlotilla #global #misibantuan #Gaza #airtimes #GSF
