CERGY, 24 SEPT– Program pembangunan jet tempur generasi baharu Eropah, Future Combat Air System (FCAS), kini berdepan ketidaktentuan.
Ini susulan pertikaian antara syarikat Perancis, Dassault Aviation dan Airbus dari Jerman.
Ketua Pegawai Eksekutif Dassault, Eric Trappier menegaskan syarikatnya memiliki keupayaan penuh untuk membangunkan jet tempur baharu secara bersendirian.
“Kita tahu bagaimana untuk lakukan semua daripada A hingga Z, dan kita sudah buktikan selama lebih 70 tahun,” kata kepada media antarabangsa selepas majlis perasmian kilang baharu Dassault di Cergy.
Kenyataan itu dilihat sebagai cabaran terbuka kepada Jerman yang sebelum ini menuduh Dassault menyekat fasa seterusnya projek dengan menuntut kepimpinan tunggal dalam pembangunan pesawat berawak demonstrator.
Projek FCAS bernilai €100 bilion (RM504 bilion) dilancarkan pada 2017 oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman ketika itu Angela Merkel, sebelum disertai oleh Sepanyol dua tahun kemudian.
Namun, ketegangan meningkat selepas pengaruh Airbus bertambah, menjadikan Dassault kerap diketepikan dalam undian teknikal.
Beberapa ahli politik Jerman menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada FCAS.
Namun, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius menegaskan keputusan penting perlu dimuktamadkan tahun ini.
Walaupun Trappier menegaskan Dassault terbuka kepada kerjasama, beliau menuntut syarikat diberi kuasa penuh dalam pembangunan pesawat tempur dengan Airbus menumpukan kepada komponen lain.
“Keputusan teknikal perlu dibuat oleh ‘atlet terbaik’, bukan melalui sistem undi tiga pihak,” katanya. – airtimes.my
#airtimes #pertahanan #FCAS #Dassault #Airbus #IndustriPertahanan #PesawatTempur

