Pembatalan perolehan sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) untuk aset TLDM mula membuka ruang kepada pelbagai spekulasi mengenai hala tuju baharu keupayaan serangan maritim negara.
Dalam konteks geopolitik semasa, isu ini bukan sekadar soal memilih persenjataan terbaik, tetapi turut melibatkan persoalan siapa rakan strategik yang benar-benar boleh dipercayai ketika krisis.
NSM dari Norway sebelum ini dilihat sebagai pilihan moden kerana keupayaan ‘sea-skimming’, ketepatan tinggi dan integrasi dengan sistem Barat.
Usaha melobi untuk mendapatkan kontrak kapal LCS ini juga bukanlah mudah kerana Norway sendiri bukan negara pembekal kelengkapan pertahanan kepada Malaysia, tidak seperti Perancis atau Itali.
Syarikat Kongsberg pula sejak puluhan tahun kerap hadir ke Malaysia mempamerkan teknologi persenjataan mereka sama ada semasa DSA atau LIMA.
Peluru berpandu C-802 turut digunakan oleh negara-negara jiran. /Gambar: Kementerian Pertahanan Republik Indonesia
Namun, ketidaktentuan politik global dan tekanan blok kuasa besar menjadikan pergantungan kepada satu sumber Barat semakin dipersoalkan.
Keadaan ini menyebabkan timbul perbincangan sama ada Malaysia perlu mula meneroka pembekal bukan Eropah bagi mengurangkan risiko sekatan atau kelewatan bekalan ketika konflik.
Dalam senario tersebut, China muncul sebagai antara negara yang dilihat berupaya membantu dalam tempoh singkat, khususnya dari segi penghantaran sistem persenjataan dan sokongan logistik.
Malah, ada pandangan bahawa hanya Beijing mampu menyelesaikan keperluan sistem peluru berpandu antikapal Malaysia dalam tempoh singkat sekiranya berlaku keperluan mendesak.
Antara sistem yang sering dikaitkan ialah misil YJ-83 atau versi eksportnya C-802 yang sering digelar ‘Chinese Exocet’.
Misil tersebut mempunyai falsafah reka bentuk hampir sama dengan Exocet MM40 Block 3 iaitu ringan, subsonik dan mampu terbang rendah bagi mengelak radar musuh.
Malah, kedua-dua misil menggunakan enjin turbojet moden yang membolehkan jarak serangan sekitar 180 hingga 200 kilometer.
Dari sudut teknikal, YJ-83 dianggap sebagai alternatif paling hampir kepada Exocet dalam ekosistem China.
C-802 dilaporkan mempunyai keupayaan yang setara dengan Exocet keluaran Eropah. /Gambar: Kementerian Pertahanan Republik Indonesia
Namun, persoalan besar timbul berkaitan tahap kepercayaan strategik terhadap Beijing.
Walaupun China mampu menawarkan harga kompetitif dan penghantaran pantas, Malaysia tetap berdepan dilema kerana isu pertikaian Laut China Selatan masih belum selesai.
Terdapat juga kebimbangan mengenai kemungkinan kewujudan ‘back door’ atau akses tersembunyi dalam sistem elektronik dan pautan data misil buatan China.
Kebimbangan itu bukan sesuatu yang baharu kerana kebanyakan kuasa besar sememangnya melindungi algoritma dan kod sumber sistem senjata mereka.
Dalam masa sama, Turki turut disebut sebagai calon alternatif memandangkan negara itu semakin agresif dalam pasaran pertahanan global.
Namun, terdapat pandangan bahawa Ankara sukar dijadikan sekutu strategik sepenuhnya kerana kedudukannya masih terdedah kepada tekanan geopolitik Barat dan NATO.
Selain itu, Turki juga dilihat kurang mempunyai kehadiran ketenteraan konsisten di rantau Laut China Selatan.
Korea Selatan pula menghadapi cabaran berbeza kerana banyak sistem pertahanannya masih bergantung kepada komponen dan teknologi Amerika Syarikat.
Ini bermakna sebarang konflik besar boleh menyebabkan sekatan eksport atau gangguan bekalan alat ganti.
Pilihan mendapatkan misil dari Rusia pula dianggap terlalu berisiko ketika ini susulan sekatan antarabangsa dan ketidaktentuan perang di Ukraine.
Disebabkan faktor tersebut, ramai pemerhati melihat MBDA menerusi Exocet MM40 Block 3 masih kekal sebagai pilihan paling selamat dan matang untuk Malaysia.
Adakah Malaysia perlu menimbangkan semula perolehan Exocet sebagai pengganti?. /Gambar: MBDA
Perancis dianggap lebih teruji dalam situasi peperangan sebenar serta mempunyai rekod penghantaran bekalan ketenteraan yang lebih konsisten kepada pelanggan luar negara.
Selain aspek peluru berpandu semata-mata, isu ini sebenarnya menyentuh persoalan lebih besar iaitu keperluan Malaysia mencari sekutu strategik sementara dalam landskap Indo-Pasifik yang semakin tegang.
Filipina misalnya mempunyai sokongan kuat Amerika Syarikat melalui perjanjian pertahanan bersama, manakala Singapura pula mempunyai hubungan ketenteraan rapat dengan Washington.
Indonesia pula mengamalkan pendekatan berkecuali pragmatik dengan mengekalkan hubungan baik bersama pelbagai kuasa termasuk China dan Turkiye.
Dalam keadaan itu, ada pandangan bahawa Malaysia masih belum mempunyai ‘payung strategik’ yang benar-benar kukuh sekiranya berlaku krisis serantau.
Atas sebab itu, sebahagian pemerhati melihat hubungan pertahanan lebih rapat dengan China boleh menjadi langkah pragmatik sementara bagi mewujudkan keseimbangan kuasa.
Pendekatan tersebut dilihat berasaskan konsep ‘strategic hedging’ iaitu bekerjasama dengan Beijing dalam aspek tertentu sambil mengekalkan kepentingan nasional Malaysia di Zon Ekonomi Eksklusif sendiri.
Namun begitu, cabaran utama tetap terletak pada isu integrasi sistem kerana misil YJ-83 China tidak boleh digunakan secara langsung dengan sistem pengurusan tempur Barat seperti Naval Group SETIS tanpa pembangunan antara muka khas yang sangat kompleks dan sensitif.
Justeru, keputusan memilih pengganti NSM akhirnya bukan hanya soal prestasi peluru berpandu, tetapi juga melibatkan persoalan kepercayaan strategik, keserasian teknologi dan kedudukan Malaysia dalam percaturan geopolitik Indo-Pasifik yang semakin mencabar.









