Darurat tentera dalam sejarah moden sentiasa muncul sebagai langkah terakhir ketika sesebuah negara berdepan krisis besar. Ia dilihat sebagai jalan keluar apabila instrumen politik, undang-undang sivil dan institusi awam gagal mengekang keadaan. Melalui pengisytiharan darurat tentera, kuasa pemerintahan dipindahkan kepada angkatan bersenjata, manakala norma demokrasi digantung buat sementara.
Dari sudut negara, tindakan ini dianggap perlu untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat. Namun, langkah tersebut sering menimbulkan polemik.
Sebahagian pihak melihatnya sebagai bukti bahawa negara berfungsi untuk memusatkan kuasa, bukan membebaskan rakyat. Apabila darurat tentera diisytiharkan, suara parlimen, mahkamah, media dan kebebasan awam biasanya diketepikan. Inilah dilema utama, adakah ia benar-benar melindungi rakyat, atau sekadar mengawal mereka di bawah satu struktur kuasa?
Pandangan yang bertentangan
Perdebatan tentang darurat tentera wujud dalam dua kutub besar. Dari sudut pemerintah, ia dianggap instrumen sah untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih parah. Tanpa langkah keras, negara boleh tergelincir ke arah kekacauan, keruntuhan ekonomi dan pergolakan sosial yang lebih buruk.
Sebaliknya, pengkritik berpendapat bahawa darurat tentera membuka jalan kepada penyalahgunaan kuasa. Dengan alasan keselamatan, hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan mengkritik boleh diketepikan. Kestabilan yang dicapai melalui intimidasi dikhuatiri hanya bersifat sementara, malah meninggalkan trauma mendalam dalam masyarakat.

Polis Bantuan (Auxiliary Police) negeri Perak berbaris ketika era darurat di Persekutuan Tanah Melayu (FOTO: ARKIB NEGARA)
Sejarah rantau Asia Tenggara
Rantau ini menyimpan banyak contoh darurat tentera yang boleh dijadikan rujukan. Thailand misalnya, dikenali dengan sejarah kudeta tentera yang kerap berlaku. Sejak 1932, negara itu mengalami lebih 10 rampasan kuasa, menjadikan campur tangan tentera sebagai sebahagian daripada kitaran politik.
Di Filipina, darurat tentera pernah diisytiharkan oleh Presiden Ferdinand Marcos pada 1972. Ia berkuat kuasa sehingga 1981, dengan alasan mengekang ancaman komunis dan mengawal ketegangan politik. Namun, tempoh itu dicatatkan sebagai era penindasan hak asasi, dengan ribuan orang ditahan tanpa bicara. Amnesty International merekodkan lebih 70 ribu penahanan, 35 ribu kes penyiksaan, dan lebih 3 ribu pembunuhan luar mahkamah sepanjang tempoh berkenaan.
Malaysia turut mengalami pengalaman panjang. Darurat 1948 diisytiharkan ketika ancaman komunis, manakala darurat pada 1969 selepas tragedi 13 Mei bertujuan meredakan ketegangan kaum. Kedua-duanya menunjukkan bahawa darurat tentera atau darurat keselamatan digunakan bukan sekadar untuk menentang pemberontakan bersenjata, tetapi juga untuk mengekalkan ketenteraman awam

Markas Parti Komunis Indonesia (PKI) di Jakarta pada 8 Oktober musnah akibat amukan orang ramai susulan Peristiwa G30S.
Indonesia pula mempunyai sejarah lebih dramatik. Presiden Soekarno pernah mengisytiharkan Keadaan Darurat Perang pada 1957 selepas kerajaan pusat gagal mengawal pemberontakan daerah. Semua kuasa pemerintahan ketika itu dipindahkan kepada tentera. Pada 1965, tragedi Gerakan 30 September yang dikaitkan dengan cubaan rampasan kuasa komunis membawa kepada operasi besar-besaran oleh tentera. Anggaran akademik menyebut antara 500 ribu hingga 1 juta orang terbunuh dalam operasi pembersihan anti-komunis, menjadikan peristiwa itu antara yang paling berdarah dalam sejarah moden Asia Tenggara.
Selain itu, darurat tentera di Aceh pada 2003 turut memberi kesan besar. Presiden Megawati Sukarnoputri mengambil langkah tersebut ketika konflik dengan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) memuncak. Sepanjang tempoh darurat, ribuan orang awam terbunuh dan ribuan lagi ditahan. Laporan daripada pertubuhan hak asasi mendakwa wujud pencabulan hak termasuk penahanan sewenang-wenangnya dan kes kehilangan paksa.
Antara keselamatan dan hak rakyat
Contoh-contoh sejarah ini menonjolkan corak berulang. Darurat tentera digunakan ketika negara berdepan ancaman besar, sama ada pemberontakan, rusuhan atau konflik politik. Dari perspektif pemerintah, ia satu-satunya cara untuk menghalang keruntuhan sistem. Tentera diberi mandat menjaga keselamatan, memulihkan ketenteraman dan memastikan kelangsungan negara.
Namun, bagi rakyat yang pernah melaluinya, pengalaman itu sering dikaitkan dengan kehilangan kebebasan. Larangan perhimpunan, kawalan ketat terhadap media, dan peningkatan kuasa pihak keselamatan meninggalkan kesan mendalam. Mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal atau bergantung pada perkhidmatan awam biasanya paling terkesan, kerana ruang kehidupan seharian mereka terganggu.

Gelombang protes rakyat memenuhi jalan raya di Indonesia sebagai tanda penentangan terhadap isu politik semasa (FOTO HIASAN)
Trauma sejarah dan politik moden
Indonesia menjadi contoh jelas bagaimana trauma sejarah masih menghantui masyarakat. Walaupun Presiden Prabowo Subianto baru-baru ini menafikan kemungkinan darurat tentera diisytiharkan susulan demotrasi besar-besaran, kenyataan itu sendiri mencetuskan kebimbangan. Rakyat Indonesia masih menyimpan memori kolektif tentang tragedi 1965 dan konflik Aceh. Bagi mereka, darurat tentera bukan sekadar istilah undang-undang, tetapi lambang kepada penangkapan besar-besaran, kehilangan nyawa dan penyekatan ruang demokrasi.
Di peringkat antarabangsa, darurat tentera juga sering dilihat memberi kelebihan kepada pihak berkuasa. Ia menjadi justifikasi sah untuk mengekang penentangan politik, mengawal media, malah meluaskan pengaruh tentera ke sektor ekonomi dan pentadbiran awam. Senario ini boleh melemahkan institusi demokrasi dalam jangka panjang.
Refleksi serantau
Perbahasan tentang darurat tentera tidak akan terhenti. Selagi wujud percanggahan antara tuntutan kestabilan negara dengan aspirasi kebebasan rakyat, isu ini akan terus menjadi dilema. Sejarah Asia Tenggara membuktikan bahawa darurat tentera boleh menjadi alat yang berkesan mengekalkan kuasa, tetapi pada masa sama berpotensi meninggalkan luka sosial yang sukar dipadamkan.
Bagi negara yang berdepan ancaman besar, langkah ini mungkin kelihatan sebagai satu-satunya pilihan. Namun, pengajaran daripada pengalaman lalu jelas: darurat tentera perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati, dengan keseimbangan antara keselamatan dan hak rakyat. Tanpa keseimbangan ini, kestabilan yang dikejar berisiko menjadi ilusi yang hanya memperdalamkan jurang antara pemerintah dan masyarakat. -airtimes.my
#Darurattentera #pertahanan #keselamatan #diskusi
