Dalam landskap keselamatan moden, keupayaan bertindak pantas tidak lagi sekadar soal jumlah aset, namun sejauh mana sesebuah platform mampu beradaptasi dengan pelbagai peranan.
Itulah sebabnya pesawat C295 Maritime Surveillance Aircraft (MSA) terus menjadi pilihan banyak negara, termasuk Malaysia yang memerlukan pesawat ringan dan mampu menjawab keperluan operasi masa kini.
Dari sudut luaran, C295 bukanlah pesawat yang mencuri perhatian. Namun, keupayaan di sebalik reka bentuknya menjadikan ia antara pesawat paling bernilai dalam kategori taktikal sederhana. Dikenali sebagai pesawat yang serba boleh, C295 mampu melaksanakan misi logistik, bantuan kemanusiaan, pemantauan maritim dan juga risikan udara.
Mengulas lanjut, C295 mula diperkenalkan oleh CASA Sepanyol, sebelum syarikat itu digabungkan ke dalam Airbus Defence and Space. Pesawat ini dibina sebagai penyambung antara CN235 dan pesawat berat seperti C-130 Hercules. Dengan kapasiti muatan sehingga sembilan tan dan kebolehan beroperasi di landasan pendek yang tidak berturap, C295 jelas direka untuk beraksi di lokasi yang sukar dicapai.
Bukan sekadar angkut anggota dan bekalan, pesawat ini juga boleh disesuaikan untuk membawa peralatan atau kenderaan ringan. Pintu bahagian belakangnya memudahkan proses memunggah di kawasan operasi, sesuatu yang sangat berguna ketika bertugas di lokasi terpencil atau dalam keadaan tergesa-gesa.
Pesawat ini juga banyak menyumbang dalam misi bantuan bencana. Ketika bencana alam seperti banjir atau gempa bumi berlaku, keupayaan C295 untuk mendarat di kawasan luar bandar memberi kelebihan ketara. Ia boleh membawa makanan, peralatan perubatan, dan keperluan asas ke kawasan yang terputus hubungan.
Terdapat juga varian khas MEDEVAC, yang dilengkapi sistem sokongan hayat untuk pemindahan pesakit. Dalam konfigurasi ini, C295 mampu membawa pengusung dan petugas perubatan, menjadikannya pilihan utama untuk tugasan kemanusiaan dan operasi menyelamat.
C295 sebagai platform risikan
Selain itu, apa yang menjadikan C295 benar-benar menonjol ialah kemampuannya sebagai pesawat ISR, risikan, pemantauan dan peninjauan. Versi C295 MPA (Maritime Patrol Aircraft) dilengkapi dengan radar carian permukaan, sistem elektro-optik dan sonar buoy untuk operasi pengawasan laut.
Manakala, versi C295 AEW&C membawa sistem radar AESA yang dipasang di atas fiuslaj, membolehkannya berfungsi sebagai pesawat amaran awal. Ia mungkin lebih kecil berbanding pesawat AEW lain, namun masih mampu menyokong pemantauan udara dan menyelaras maklumat dengan aset lain, termasuk jet pejuang dan sistem pertahanan darat.
Pendek kata, pesawat ini menjadi ‘mata dan telinga’ udara dalam memastikan ruang udara dan perairan sesebuah negara sentiasa dipantau dengan efisien. Dengan konfigurasi dalaman yang fleksibel, pesawat ini sesuai untuk misi penghantaran pasukan khas, tugasan komunikasi taktikal dan bahkan ujian integrasi sistem peperangan elektronik.
Kemampuannya untuk bertindak sebagai platform komunikasi bergerak atau nod kawalan menjadikannya aset penting dalam konsep peperangan moden yang bergantung kepada kecekapan rangkaian dan penguasaan maklumat.
Pesawat global, jejak serantau
Setakat ini, sebanyak 233 daripada 309 tempahan unit C295 telah dihantar kepada lebih 35 negara. Di Asia Tenggara, Indonesia, Thailand dan Filipina antara pengguna aktif memandangkan gabungan kecekapan, fleksibiliti dan kebolehpercayaan menjadikan C295 salah satu pelaburan paling berbaloi dalam dunia pertahanan hari ini. -airtimes.my
#pertahanan #AirTimes #C295MaritimeSurveillanceAircraft #Diskusi
