KUALA LUMPUR, 26 Apr – Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas Darurat ditamatkan pada 1 Ogos nanti.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia juga bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar daripada semua pihak berkenaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, ini kerana langkah pengawalan dan pencegahan COVID-19 masih berterusan dengan seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan.
Beliau menjelaskan, pihak penguatkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) masih bertungkus-lumus menjaga perbatasan tanah air daripada dibolosi pendatang asing yang berisiko membawa jangkitan COVID-19 dari negara luar.
“Kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti-parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 yang belum reda sepenuhnya,
“Kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen,
“Namun begitu, keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan adalah tidak wajar sekiranya wujud kesangsian atau syak wasangka berkaitan berlakunya salahguna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi seperti biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa.
“Justeru, semua pihak diseru supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giatnya demi memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial,” tambahnya. –airtimes.my