Di setiap perairan sesebuah negara, pastinya setiap ruang samudera dikawal dan dijaga, demi memastikan negara kekal terpelihara dari sebarang ancaman musuh yang mampu datang dari pelbagai arah dan cara di luar jangkaan.
Pihak berkuasa terutama dari ketenteraan darat mahupun laut, antara unit utama dan hadapan dalam memastikan kesejahteraan negara terjamin dengan kekuatan dan kesiagaan yang ada pada setiap anggota yang telah terlatih.
Pengendalian jet atau kapal-kapal, sememangnya utuh dan unggul dengan pelbagai fungsi serta kelebihan yang menjadi faktor penyumbang dalam ketenteraan dan keselamatan selain penggunan peralatan senjata-senjata lain dalam menewaskan musuh.
Begitu juga dengan negara jiran kita, Singapura yang memiliki kapal selam – Challenger, sebuah kapal selam dari bekas Tentera Laut Diraja Sweden kelas Sjoormen. Aset tersebut dihasilkan oleh syarikat Kockums AB di Karlskrona, Sweden yang mana perkhidmatannya dengan Tentera Laut Republik Singapura (RSN) bermula sejak tahun 1990an.
Setelah bertahun-tahun memanfaatkan kedua-dua kapal selam RSS Conqueror dan RSS Chieftain yang telah berkhidmat sejak tahun 1990an itu, Singapura mengumumkan penamatan perkhidmatan dua buah kapal selam tersebut dalam satu majlis baru-baru ini.
Penamatan tersebut dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut Republik, Laksamana Muda (RAMD) Sean Wat di Pangkalan Tentera Laut Changi pada 25 November 2024. Justeru, sebagai tanda penyerahan tugas terakhir daripada Kapal Selam kelas Challenger kepada Kapal Selam kelas Invincible.
Dengan penamatan tersebut, Singapura secara keseluruhannya memiliki empat buah kapal selam kelas- Challenger dan dua buah kapal selam iaitu RSS Challenger dan RSS Centurion yang mana perkhidmatannya telah ditamatkan pada tahun 2015.
Bagaimanapun, kedua-dua buah kapal selam ini yang dahulunya dilancarkan adalah bagi membantu melindungi Singapura dari serangan musuh, di samping rekaannya mempunyai pelbagai modifikasi mengikut kesesuaian dengan keperluannya kepada air.
“Pencapaian RSS Conqueror dan RSS Chieftain adalah bukti kepada ketabahan dan keberanian krew perintis kapal selam Tentera Laut Republik Singapura, yang telah meletakkan asas kukuh untuk pertumbuhan 7th Flotilla dan Tentera Laut Republik Singapura sebagai sebuah pasukan operasi kapal selam bertaraf dunia.” kata Komander Armada, RADM Kwon Hon Chung.
Kapal-kapal selam kelas-Challenger yang telah ditamatkan perkhidmatannya, RSS Conqueror dan RSS Chieftain masing-masing ditauliahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan ketika itu, Dr Tony Tan Keng Yam, pada 22 Julai 2000 dan 24 Ogos 2002.
Dengan memiliki kelebihan merangkumi penghawa dingin, sistem perlindungan yang dibangunkan oleh marin serta paip tahan kakisan, ia berperan penting dalam pembangunan keupayaan operasi kapal selam Tentera Laut Republik Singapura.
Selain itu, kapal selam ini turut berjaya dalam melaksanakan misi bagi melindungi kepentingan maritim juga kedaulatan wilayah Singapura dengan menerusi pelbagai operasi di perairan laut. Sekaligus, memperkukuhkan hubungan pertahanan Singapura melalui penyertaan dalam latihan dua hala dan pelbagai hala.
Sehubungan itu, RADM Sean Wat turut merasmikan pelancaran Sekolah Latihan Kapal Selam (Submarine Training School – STS) yang baru. Nama tersebut bersempena dengan RSS Challenger bagi memperingati kapal selam Challenger.
Berhubung pembangunan sekolah latihan tersebut, ia merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah latihan kapal selam tempatan Tentera Laut Republik Singapura. Hal ini, di mana mampu meningkatkan realisme, keberkesanan, dan kecekapan latihan menerusi kelengkapan simulator yang membolehkan individu mahupun pasukan menjalani latihan dalam persekitaran yang selamat dan scenario yang realistik.
Majlis ini turut dihadiri Komander Armada, RADM Kwon Hon Chung, bagi menyampaikan penghormatan kepada kedua-dua kapal selam dan generasi krew, di samping kehadiran kru lama dan baharu RSS Chieftain serta pegawai kanan RSN dalam majlis penamatan perkhidmatan itu. –airtimes.my
#AirTimes #KapalSelam #RSS #RSN #Singapura
